Berita

DAPSY desak Zahid Hamidi bebaskan Nik Nazmi

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Pemuda DAP (DAPSY) hari ini mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya mengarahkan pihak polis untuk membebaskan segera Ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang kini ditahan di Balai Polis Jinjang.

Setiausaha DAPSY Tan Hong Pin berkata, penahanan Nik Nazmi atas alasan menganjur dan mengambil bahagian dalam protes Kita Lawan adalah sama sekali tidak munasabah berikutan perhimpunan tersebut berjalan dengan aman.

“Saya menggesa Zahid Hamidi mengarahkan supaya Nik Nazmi dibebaskan segera dan semua siasatan bermotif politik ke atas beliau diberhentikan.

“Bukankah amat ironi apabila Akta Perhimpunan Aman digunakan untuk menangkap dan menyeksa pemimpin politik yang berjaya menganjur serta menjalankan perhimpunan secara aman?

“Tidak ada rakyat Malaysia yang patut diambil tindakan hanya kerana melaksanakan hak berpolitik yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Nazmi sebelum ini pada 22 Februari lalu telah ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan di kediaman beliau berikutan perhimpunan awam pada hari sebelumnya.

Aktivis muda Adam Adli dan Ketua Setiausaha Pengelola PKR Fariz Musa turut ditahan atas alasan yang sama.

Namun semalam, Nik Nazmi yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi ditangkap di bawah kanun yang sama termasuk Akta Perhimpunan Aman.

Hong Pin yang juga ADUN Mengkibol menegaskan, Perlembagaan dan undang-undang negara jelas memberikan hak kepada rakyat untuk bebas bersuara serta berhimpun secara aman.

Katanya, perhimpunan awam adalah penting supaya suara rakyat dapat didengar dan ia merupakan saluran ‘feedback’ yang berkesan kepada pihak pentadbir mahupun kerajaan semasa.

“Nik Nazmi dan rakan-rakan lain sepatutnya diberi setinggi-tinggi penghargaan kerana berjaya merancang serta mengetuai perhimpunan yang membabitkan 10,000 rakyat itu.

“Tapi sebaliknya polis mengambil tindakan menahan Nik Nazmi dan tindakan ini adalah satu penindasan terhadap beliau seterusnya memburukkan lagi imej polis di bawah pimpinan Khalid Abu bakar,” tegasnya.

Ahli Jawatankuasa DAP Johor itu turut mempersoalkan sama ada Kerajaan UMNO-BN sebenarnya memang telah menyusun agenda khusus untuk mensasarkan pemimpin muda Pakatan Rakyat dalam isu ini.

“Seluruh rakyat mahu tindakan keji, tidak adil dan berniat jahat UMNO-BN ini berakhir segera,” ujarnya. -Roketkini.com