Berita

Nur Jazlan tidak perlu ikut cakap sesiapa untuk siasat 1MDB – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 9 MAC – Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak perlu mendengar cakap sesiapa dalam menjalankan tugasnya menyiasat kewangan syarikat pelaburan kerajaan 1MDB.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ekoran percanggahan kenyataan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, PAC harus segera bermesyuarat.

“Walaupun Perdana Menteri berkata bahawa PAC patut bermesyuarat selepas Ketua Audit Negara melengkapkan siasatan, Timbalan Perdana Menteri pula berkata PAC patut bermesyuarat segera.

“PAC nak dengar cakap siapa? Perdana Menteri atau Timbalannya? Saya rasa PAC tidak perlu ikut cakap siapa-siapa, tetapi bertanggungjawab hanya kepada Parlimen,” tegas Kit Siang.

Menurutnya lagi, Nur Jazlan perlu segera mengadakan mesyuarat PAC dan tanpa berlengah memutuskan mengenai kaedah siasatan memandangkan skandal 1MDB telah berlarutan selama enam tahun.

Beliau turut menggesa Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang segera melancarkan siasatan dalam isu yang begitu penting kepada negara.

“Beliau seorang ketua audit yang baik. Namun beliau telah gagal dalam tugas yang begitu penting ini.

“Beliau mesti segera mengumumkan apakah terma rujukan (bagi) melaksanakan siasatan serta memberikan jangka masa yang sesuai.

“Jika tidak rakyat dan ahli-ahli parlimen akan mengejarnya,” ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu. – Roketkini.com