Berita

Rasuah menjadi-jadi, BN dan SPRM patut henti bersandiwara

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ahli Parlimen BN disaran supaya berhenti bersandiwara mahu memerangi rasuah padahal mereka gagal menghalang beberapa skandal kewangan dalam negara.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini berkata antara kegagalan tersebut termasuklah skandal RM42 bilion 1MDB, skandal kehilangan RM52 bilion saham bumiputera dan skandal RM13.5 bilion Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

“Wakil rakyat BN hanya pandai bercakap untuk memerangi rasuah tapi tidak mengotakan apa yang dikatakannya. Inilah dia jenis sandiwara yang telah membawa kepada rentetan siri skandal kewangan.

“Sudahlah mereka gagal untuk menyelesaikan skandal RM52 bilion bumiputera yang bertujuan untuk diagihkan kepada warga miskin hilang dan tidak melakukan sebarang tindakan terhadap skandal RM13.5 bilion PKFZ, kini rakyat Malaysia dibebankan pula dengan skandal RM42 bilion 1MDB.

“Masalah rasuah tidak akan selesai dengan mengambil pendekatan hipokrit dan sikap burung unta yang menyembunyikan kepalanya ke dalam pasir,” ujar beliau.

Tegas Guan Eng lagi, tidak hairan kenapa laporan Global Integrity Report yang berpengkalan di Washington mengganggarkan sebanyak RM1.4 trilion wang dana haram telah mengalir keluar dari Malaysia secara rahsia sejak 10 tahun lalu.

“RM1.4 trilion ini jika dibahagikan sama rata di kalangan 28 juta rakyat Malaysia, setiap rakyat akan kehilangan RM50,000 seorang.

“Begitu pun SPRM dan Ahli Parlimen BN tidak kelihatan runsing dan masih boleh bercakap tentang membanteras rasuah tanpa rasa segan silu,” tegas Ahli Parlimen Bagan itu.

Beliau turut menggesa supaya sebuah kempen yang tersusun dan bersepadu dijalankan bagi membanteras rasuah sehingga ke peringkat tertinggi, seperti yang sedang dijalankan di China.

“Skandal 1MDB akan menjadi titik permulaan yang baik untuk membersihkan Malaysia dan merintis jalan ke arah integriti,” ujarnya. – Roketkini.com