Berita

Selepas Nik Nazmi, Ketua DAPSY mangsa salahguna kuasa polis seterusnya?

KUALA LUMPUR, 9 MAC – DAP mengecam keras tahanan reman yang dikenakan terhadap Exco Kerajaan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad ekoran penglibatannya dalam perhimpunan Kita Lawan Sabtu lalu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, keputusan mengecam tindakan polis ke atas Nik Nazmi dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat Ahli-ahli Parlimen DAP tengah hari tadi.

“Tidak seharusnya seorang Ahli Exco direman sehingga tiga hari kerana beliau bukannya seorang yang berbahaya,

“Beliau hanya menggunakan haknya untuk mengadakan perhimpunan secara aman.

“Keputusan reman tiga hari ini memang tidak munasabah dan merupakan satu penganiayaan,” ujar Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Nik Nazmi ditahan reman selama tiga hari di Lokap Berpusat Jinjang bagi membantu siasatan terhadap perhimpunan aman Sabtu lalu.

Beliau mempersoalkan Nik Nazmi perlu ditahan sehingga tiga hari, sedangkan soal siasat boleh dibuat tanpa menahan Ketua Angkatan Muda Keadilan itu.

“Beliau tentu akan memberikan kerjasama. Beliau adalah seorang wakil rakyat dan telah dilantik sebagai seorang ahli exco negeri Selangor,” tambah beliau.

Teo Kok Seong mangsa seterusnya?

Selain Nik Nazmi, Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong turut telah dipanggil polis untuk disiasat mengenai perhimpunan aman Sabtu lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah telah menerima panggilan telefon daripada pihak polis dan sedia memberikan kerjasama penuh.

“Kita melahirkan rasa prihatin terhadap Kok Seong kerana beliau akan menjadi sasaran selepas Nik Nazmi,” kata Guan Eng sambil menambah bahawa peguam-peguam DAP bersedia membela Kok Seong.

Kok Seoang akan menjadi mangsa ke-16 dari kalangan wakil rakyat DAP yang diambil tindakan oleh pihak polis atas pelbagai sebab, termasuk siasatan di bawah Akta Hasutan.

Bagi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pula tahanan reman yang dikenakan oleh pihak polis terhadap Nik Nazmi adalah penyalahgunaan kuasa yang sangat jelas.

“Saya menggesa Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk segera masuk campur dan memastikan Nik Nazmi dibebaskan segera, kerana ini adalah satu penindasan.

“Saya mahu tanya kenapa Menteri Pertanian Ismail Sabri Yaakob tidak pula ditahan selama tiga hari setelah mengeluarkan kenyataan menghasut pengguna Melayu untuk memboikot peniaga Cina,” ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

“Apa yang dilakukan oleh Ismail Sabri adalah jauh lebih teruk berbanding Nik Nazmi,” tambahnya. – Roketkini.com