Berita

Skandal 1MDB: DAP cabar Najib nafi beri kelulusan RM1.8 bilion kepada PetroSaudi

KUALA LUMPUR, 9 MAC: DAP hari ini mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menjawab sama ada beliau telah memberi lampu hijau terhadap 1MDB untuk memberi pinjaman berjumlah RM1.8 bilion kepada PetroSaudi International Limited.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, Najib harus memastikan bahawa beliau sememangnya telah berbuat demikian pada tahun 2010 berdasarkan satu lagi pendedahan dari Sarawak Report semalam.

“Sarawak Report semalam telah mendedahkan satu emel berkaitan skandal 1MDB yang melibatkan Najib dan kemungkinan penglibatan beliau dalam kemelut kerjasama dalam PetroSaudi International (PSI),” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Tony, jika benar pendedahan tersebut adalah satu pembohongan, Najib mesti menafikannya dengan bertindak segera terhadap Jho Low yang telah menipu dan menyalahguna nama beliau sebagai Perdana Menteri dalam skandal 1MDB.

“Najib perlu membuat laporan polis untuk menuntut siasatan segera terhadap Jho Low yang telah melakukan dakwaan palsu terhadapnya.

“Saman sivil juga perlu dimulakan terhadap Jho Low, bukan hanya kerana menipu tapi telah mencemarkan imej dan nama baik Najib selaku Perdana Menteri Malaysia.

“Jika Najib tidak mengambil tindakan serius terhadap Jho Low, maka beliau tidak boleh menyalahkan rakyat untuk terus membuat spekulasi mengenai penglibatannya dalam penipuan 1MDB-PSI,” tegasnya.

Sarawat Report semalam telah mendedahkan urusniaga melalui emel antara individu yang terlibat dalam perjanjian antara 1MDB dan PSI.

Dalam perbualan antara ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) dan Pengarah PSI Patrick Mahony menerusi BlackBerry Messenger pada tahun tahun 2011 itu, ia jelas menyatakan bahawa Jho Low cuba memintas Bank Negara Malaysia (BNM) dengan mendakwa bahawa Najib telah meluluskan pinjaman.

Jho Low dikatakan memberitahu PSI bahawa kelulusan dari BNM untuk pinjaman tidak diperlukan kerana ia akan menyebabkan ‘kelewatan’.

Beliau mendakwa Kementerian Kewangan sudah meluluskan pinjaman dan BNM tidak diperlukan termasuk menyatakan ‘Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan’ sendiri telah menandatangani itu.

Mahony kemudian telah mengemel seluruh perbualan tersebut kepada Fello Pengarah PSI Tarek Obaid sambil menambah bahawa tarikh paling sesuai untuk perjanjian pinjaman US$500 juta antara 1MDB dan PSI adalah pada 26 Julai 2010.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP sekali lagi menegaskan, perkara paling penting untuk Najib kini adalah menjelaskan apakah beliau benar-benar telah meluluskan pinjaman antara 1MDB dan PSI.

“1MDB dengan misterinya telah menukar saham mereka berjumlah US$1 bilion dalam usahasama 1MDB-PetroSaudi Limited pada 31 Mac 2010 kepada RM4.3 bilion pinjaman dalam bentuk nota-nota Murabaha untuk syarikat itu.

“Perbualan tersebut merujuk kepada tambahan RM1.8 bilion yang diberi kepada PSI pada 8 September 2010, adakah Najib telah memberi kelulusan untuk pinjaman ini?” soalnya. – Roketkini.com