Berita

Buang petisyen bebaskan Anwar: DAP mohon penjelasan White House

KUALA LUMPUR, 10 MAC: DAP hari ini mendesak White House memberikan penjelasan berhubung tindakan mengejut mereka membuang petisyen untuk membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada saat ia hampir mencapai sasaran 100,000.

Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik berkata, tindakan White House itu telah menimbulkan syak-wasangka dan kemungkinan ia dibuang akibat campur tangan pihak tertentu.

“Sebelum ia dibuang pagi ini, petisyen telah memperoleh lebih daripada 97,000 tandatangan dan hanya memerlukan sekitar 2,000 tandatangan lagi dalam masa beberapa jam untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Malangnya, petisyen itu telah dibuang daripada laman sesawang White House menurut ‘Moderation Policy’ kerana melanggar syarat penyertaan.

“Ini telah menimbulkan syak-wasangka dan kemungkinan bahawa ia merupakan satu tindakan sabotaj pihak tertentu. Kami menggesa White House untuk memberikan penjelasan tentang kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Penolong Bendahari Pemuda DAP (DAPSY) itu turut mempersoalkan mengapa petisyen yang dibuat oleh penyokong BN pada hari sama, iaitu “Respecting the sovereign nation of Malaysia” (Menghormati kedaulatan negara Malaysia), tidak pula dibuang.

Ujarnya, pada mulanya ada yang berpendapat bahawa petisyen itu telah dibuang secara automatik kerana ia telah mencecah sasaran 100,000 tandatangan.

“Tapi terdapat petisyen yang lebih daripada 100,000 tandatangan yang masih boleh diakses melalui laman web sama.

“Mengapa petisyen pembebasan Anwar Ibrahim pula yang menjadi sasaran dan dibuang?” soalnya.

Ng menyatakan, biarpun usaha untuk membebaskan Anwar dengan cara ini gagal dicapai namun beliau memberi jaminan masih banyak cara boleh dilakukan.

“Kami sedar semua orang yang berusaha membantu mendapatkan hampir 100,000 tandatangan dalam masa 28 hari terakhir ini tentunya kecewa tapi yakinlah kita akan terus meneroka apa juga cara dan saluran untuk membebaskan Anwar,” katanya. -Roketkini.com