KUALA LUMPUR, 10 MAC: Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) 2015 akan kekal sebagai pasaran saham paling teruk di rantau Asia Pasifik jika kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak serius menyelesaikan skandal 1MDB.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, 1MDB bakal mengulangi apa yang berlaku terhadap saham Bumiputera bernilai RM52 bilion dan skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) bernilai RM13.5 bilion.
Ujarnya, kejatuhan nilai di bursa Asia Pasifik tidak mengejutkan berikutan pengukuhan nilai dolar Amerika dan pengurangan kadar pengangguran Amerika, memungkinkan kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve Amerika dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Bagaimanapun Malaysia akan menanggung akibat yang tak setara kerana lemahnya pasaran modal dan saham, walaupun negara mencatat pertumbuhan ekonomi di antara 5.7 peratus dan 6 peratus tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
KLCI Malaysia pada 2014 jatuh 5.7 peratus, kejatuhan paling besar di bursa Asia Pasifik, sedangkan Thailand yang mencatat pertumbuhan ekonomi 1 hingga 2 peratus pada 2014 berjaya meningkatkan indeks pasaran saham kepada 15.3 peratus, manakala Filipina menjadi contoh terbaik di rantau ini dengan peningkatan 22 peratus pada 2014.
Ujar Guan Eng, prospek masa depan KCLI adalah negatif kerana banyak persoalan timbul tentang skandal 1MDB yang menambah kesangsian bukan sahaja terhadap ketelusan dan kemampuan pasaran modal negara, juga berhubung penarafan kredit (credit rating) Malaysia yang terjejas.
Tegasnya, amat penting bagi 1MDB dan Kementerian Kewangan mendedahkan secara terbuka tentang skandal tersebut supaya semua orang tahu kos sebenar jika apa yang paling ditakuti benar-benar berlaku.
“Tindakan mengejutkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyaman Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang hanya mendedahkan skandal 1MDB tidak akan dapat melindungi masalah yang sememangnya wujud.
“Tindakan pantas sebuah badan bebas yang dihormati lagi dipercayai lebih penting untuk memulihkan keyakinan terhadap pasaran modal kita.
“Jika tidak, Malaysia akan menderita kesan buruk ketempangan ekonomi negara, iaitu mencatat kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi tetapi menjadi pasaran saham paling buruk di rantau ini,” kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan. – Roketkini.com