Berita

Pakatan Rakyat kecam layanan kasar polis terhadap Exco Kerajaan Selangor

PETALING JAYA, 10 MAC: Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC Selangor) mengecam tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menahan Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia berhubung siasatan perhimpunan aman #KitaLawan yang diadakan 7 Mac lalu.

ADUN Kampung Tunku Lau Weng San yang juga Setiausaha BBC Selangor menyelar layanan PDRM terhadap Nik Nazmi semasa beliau ditahan di lokap Balai Polis Jinjang.

“BBC Selangor ingin menyarankan kepada PDRM dan Kamar Peguam Negara (AGC) bahawa wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat tidak akan melarikan diri daripada tanggungjawab kami.

“Sebagai wakil rakyat, kami akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa walaupun kami terpaksa menghadapi pelbagai pendakwaan bermotif politik.

“Layanan ini bukan sahaja mengejutkan kami malahan juga sangat memalukan Malaysia kerana tidak mengikut piawai masyarakat antarabangsa terhadap hak asasi manusia,” kata Weng San.

Terdapat gambar yang disiarkan dan beredar di dalam laman sosial menunjukkan Nik Nazmi digari dan berkaki ayam.

Menurut twiter peguam Melissa Sasidaran, Nik Nazmi dibawa dari Lokap Berpusat Jinjang ke Ibu Pejabat Polis daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan berhubung himpunan flash mob di Sogo pada 14 Februari.

Tegas Weng San, PDRM dan AGC perlu bertindak secara profesional dan tidak diperalatkan UMNO dengan prosedur yang menganiaya tahanan.

“Di sini kami akan melafazkan solidariti dan sokongan kami kepada YB Nik Nazmi dan kami akan menyambut beliau nanti semasa beliau dibebaskan daripada tahanan lokap PDRM.

“Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini melalui laman Facebook atau Twitter YB Nik Nazmi dan dijemput hadir untuk memberi sokongan,” ujarnya.

Sementara itu, Sekretariat #KitaLawan dalam kiriman terbaru di laman facebook rasminya memaklumkan, himpunan nyalaan lilin sebagai tanda solidariti akan diteruskan malam ini di hadapan Lokap Berpusat Jinjang. – Roketkini.com