Berita

Skandal 1MDB: DAP cadang jawatan Menteri Kewangan digantung

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Berikutan kesediaan Jabatan Audit Negara menyiasat penyelewengan skandal RM42 bilion 1MDB, DAP mencadangkan kepada Parlimen agar jawatan Menteri Kewangan digantung buat sementara.

“Jawatan Menteri Kewangan harus digantung sehingga siasatan ke atas 1MDB selesai dijalankan,” kata Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi ketika mencelah ucapan titah Diraja Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, hari ini.

1MDB ditubuhkan pada tahun 2009 dan diilhamkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan penasihat kepada ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.

Bagaimanapun, kebelakangan ini skandal melibatkan 1MDB mendapat perhatian khususnya selepas maklumat penyelewengan didedahkan Sarawak Report.

Pada 8 Mac lalu, Sarawak Report turut mendedahkan percubaan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang cuba mempercepatkan pinjaman AS500 juta 1MDB kepada PetroSaudi pada tahun 2010.

Dalam usaha itu, Jho Low dilaporkan cuba memintas Bank Negara Malaysia (BNM) dengan mengatakan bahawa Najib telah meluluskan pinjaman tersebut.

“Kementerian Kewangan meluluskan (pinjaman). Bukan BNM kerana kita tidak fikir BNM diperlukan,” kata Sarawak Report memetik perbualan melalui BlackBerry Messenger antara Jho Low dan Pengarah PetroSaudi Patrick Mahony.

Jho Low juga memaklumkan bahawa ‘PM yang juga FM (Menteri Kewangan)’ sendiri telah menandatangani pinjaman itu walaupun Mahony mengulang permintaan bagi penjelasan rasmi tentang mengapa kelulusan BNM tidak diperlukan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua sebelum ini turut mendesak Najib membuat penafian berhubung pendedahan Sarawak Report dengan mengambil tindakan terhadap Jho Low.  – Roketkini.com