Berita

Berbohong di Dewan Rakyat, Shahidan Kassim digesa pohon maaf

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim digesa memohon maaf kerana berbohong dalam Dewan Rakyat.

Dalam perbahasan Parlimen hari ini, Shahidan mengatakan isu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri yang jelas menghasut perkauman sudah selesai dan sudah ditutup kesnya.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming menyanggah kenyataan Shahidan dan menyifatkan kenyataan itu sebagai satu pembohongan terbuka dan menghina kemuliaan Parlimen.

“Saya terkejut Shahidan boleh bohong secara terbuka kepada Parlimen. Ini adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

“Beliau cuba mengelirukan sidang Dewan Rakyat dan cuba memesongkan fakta. Bagaimana seorang menteri boleh berbohong sebegitu rupa?” soal beliau.

Nga yang juga Ahli Parlimen Taiping memberitahu kepada sidang media di lobi Parlimen bahawa isu Ismail Sabri masih lagi dalam siasatan polis berikutan 32 laporan terhadap menteri itu telah dibuat di seluruh negara.

Bahkan, menurut beliau Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi sendiri menjamin siasatan akan dijalankan dan rujukan juga dibuat kepada Pejabat Peguam Negara mengenai isu Ismail Sabri.

“Jelas ada percanggahan fakta antara Kementerian Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,” kata Nga.

Justeru itu, Nga bersama-sama Ahli Parlimen Bruas Ngeh Koo Ham serta Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad mendesak Shahidan memohon maaf secara terbuka.

“Shahidan harus minta maaf secara terbuka kepada Parlimen atas keterlanjuran berbohong dan kelirukan dewan.

“Pembohongan ini tidak boleh diterima daripada seorang menteri kerajaan,” tegasnya lagi.

Ismail Sabri sebelum ini telah menjadi tajuk berita utama pelbagai media kerana keculaparannya menyeru orang Melayu memboikot perniagaan Cina di samping memfitnah keluarga Ngeh Koo Ham sebagai anti-Islam.

Beliau juga bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan apabila mengatakan orang Cina ambil kesempatan untuk menindas orang Melayu di Malaysia. – Roketkini.com