Berita

Hak untuk berhimpun dijamin Perlembagaan – Ngeh Koo Ham

KUALA LUMPUR, 11 MAC: DAP mengkritik tuduhan sebilangan pihak khususnya UMNO-BN yang mendakwa tindakan Pakatan Rakyat melakukan protes cukur rambut semalam telah mencemari kesucian Parlimen.

Timbalan Setiausaha Agung DAP Ngeh Koo Ham berkata, tuduhan jahat itu langsung tidak berasaskan fakta berikutan ia jelas tidak mengganggu perjalanan Dewan Rakyat.

“Saya tidak faham mengapa protes cukur rambut di luar Parlimen tersebut menjadi masalah kepada mereka (UMNO-BN).

“Protes itu langsung tidak melanggar Peraturan Tetap Dewan Rakyat seperti menghalang laluan Ahli Parlimen.

“Lagipun mereka harus ingat bahawa hak untuk berkumpul dan berhimpun telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahli Parlimen Beruas itu kepada pemberita di Parlimen.

Semalam sebanyak 15 orang pemimpin Pakatan Rakyat telah mencukur rambut di pintu masuk Parlimen sebagai tanda protes terhadap penahanan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pencabulan kebebasan kehakiman oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong yang menyertai protes itu menyatakan tindakannya adalah tanda setiakawan kepada Anwar.

Menurut Jimmy, selain membantah penahanan Anwar dan kebejatan sistem kehakiman, beliau turut melakukannya sebagai tanda protas kepada isu pendatang tanpa izin di Sabah.

“Setengah rambut yang saya cukur ini untuk Anwar dan setengah lagi terhadap isu pendatang tanpa izin di Sabah.

“Bebaskan Sabah dari pendatang tanpa izin,” tegas Pengerusi DAP Sabah itu. -Roketkini.com