Berita

Kedutaan Amerika jelaskan kehilangan petisyen pro-Anwar

KUALA LUMPUR, 11 MAC – Kedutaan Amerika Syarikat hari ini mengesahkan tindakannya membuang petisyen berkaitan pemenjaraan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kerana kewujudan tandatangan palsu pada satu lagi petisyen kepada White House.

Melalui laman Facebook rasminya Kedutaan Amerika menjelaskan bahawa terdapat bilangan tandatangan palsu yang amat tinggi pada petisyen pro-Barisan Nasional bertajuk ‘Respecting the Sovereign Nation of Malaysia’ serta bertindak membuang tandatangan palsu terbabit.

Setakat tengah hari tadi, petisyen tersebut sekadar memiliki 12,000 tandatangan. Padahal tiga hari lalu, portal The Rakyat Post melaporkan bahawa petisyen tersebut telah memintas petisyen pro-Anwar dengan sebilangan 65,000 tanda tangan.

10900053_10153095257009192_8909274519938098029_o“Pada 9 Mac, pemeriksaan penipuan White House melihat bilangan tinggi tandatangan ganjil pada petisyen berkaitan pemenjaraan Anwar Ibrahim.

“Terdapat beberapa petisyen berkaitan isu ini, dan setelah siasatan lanjut, White House mendapati petisyen yang dibuang bukanlah petisyen yang mengandungi tanda tangan palsu,” jelas kenyataan tersebut merujuk kepada petisyen pro-Anwar bertajuk “Make the release of Malaysian Opposition Leader Anwar Ibrahim from prison a top priority for US policy toward Malaysia”.

Petisyen tersebut dimulakan oleh bekas Duta Amerika John Mallot bagi menuntut kerajaan Amerika menjadikan isu pemenjaraan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebagai satu keutamaan dalam dasar Amerika di Malaysia.

Berjaya cecah 100,000 tandatangan

Petisyen pro-Anwar yang ghaib dari laman web White House muncul semula tengah malam semalam dan berjaya mengumpulkan lebih dari 100,000 tandatangan seperti yang disyaratkan.

Setakat waktu berita ditulis, petisyen tersebut telah meraih sokongan lebih 109,000 individu dari seluruh dunia.

Tandatangan ke 100,000 diperolehi sekitar jam 3 pagi 11 Mac, sehari awal daripada tarikh tamat 12 Mac yang ditetapkan. – Roketkini.com