Berita

Tuduhan anti-Islam: Ismail Sabri diberi tempoh 24 jam untuk mohon maaf

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham hari ini memberi masa 24 jam kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memohon maaf kepadanya atas tuduhan bahawa beliau anti-Islam baru-baru ini.

“Saya sebenarnya tidak mahu membawa perkara ini kepada mahkamah dan mahu ia diselesaikan secara baik.

“Tapi oleh kerana sehingga sekarang Ismail masih berdegil dan mendiamkan diri, saya tidak teragak-agak untuk melakukannya. Ini adalah amaran terakhir kepada beliau.

“Ismail diberi tempoh 24 jam untuk memohon maaf, jika tidak tindakan undang-undang akan diambil,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen.

Ismail pada Februari lalu telah menghasut orang Melayu supaya memboikot perniagaan masyarakat Cina kononnya bagi memberi tekanan supaya harga barang di pasaran turun.

Ismail kemudiannya turut menuduh Ngeh dan keluarganya adalah pemilik perniagaan francais Old Town White Coffee serta telah menindas pelanggan dengan harga yang tinggi.

Lebih memalukan, Ismail mengelak bertanggungjawab apabila mengatakan kononnya ‘Ngeh’ yang dimaksudkannya bukanlah Ahli Parlimen Beruas itu tapi ‘Ngeh’ yang lain.

Pada 3 Februari lalu, Ngeh yang juga Timbalan Setiausaha Agung telah mencabar Ismail membuktikan bahawa individu yang dimaksudkan itu bukannya beliau tapi sehingga hari ini tidak dilakukan.

Tiga hari kemudiannya, Ngeh bertegas akan mengambil tindakan undang-undang kepada Ismail jika beliau kekal berdegil dari memohon maaf atas tuduhan tidak berasas itu. – Roketkini.com