Berita

Majlis pimpinan PR dengar pembentangan Enakmen Syariah Kelantan hari ini

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini menerima kehadiran wakil-wakil Kerajaan Kelantan yang membentangkan Draf Rang Undang-undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993.

“Wakil-wakil kerajaan Kelantan bersetuju membawa balik beberapa dapatan dari perbincangan Majlis Pimpinan PR pada hari ini untuk dibincangkan dengan lebih lanjut di peringkat kerajaan Kelantan,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan dan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

DAP dan PKR sebelum ini meminta PAS membentangkan butir-butir Rang Undang-undang Hudud yang ingin dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan 18 Mac nanti.

Sementara itu, ketiga-tiga wakil Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat itu menyatakan perbincangan mengenai pilihan raya kecil (PRK) Chempaka 22 Mac ini.

“PKR dan DAP akan memberi sepenuh kerjasama dan sokongan untuk membantu PAS menang bergaya di Chempaka,” kenyataan tersebut dipetik.

Bekas Timbalan Pengetua Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Ahmad Fathan Mahmood, 42, mewaliki PAS bagi mempertahankan DUN Chempaka.

Farhan yang juga bekas imam Masjid Kampung Baung adalah lulusan Sarjana Syariah dari Universiti Malaya.

Beliau bakal dicabar empat calon bebas lain iaitu calon bebas PRK DUN Pengkalan Kubor Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Fadzillah Hussin, 55; dan pesara Kementerian Kesihatan Aslah Mamat, 64.

PRK Chempaka dijalankan berikutan kematian ADUN Chempaka, yang juga bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari lalu. – Roketkini.com