Berita

Suntikan RM950 juta kepada 1MDB hanya ‘mukadimah’ – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Pengakuan Menteri Kewangan II Husni Hanadzlah bahawa kerajaan memberikan sejumlah RM 950 juta ‘standby credit’ kepada 1MDB menambah kebimbangan terhadap situasi kewangan syarikat itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, kenyataan tersebut adalah pengakuan kali pertama kementerian tersebut bahawa 1MDB sememangnya bermasalah.

“Akhirnya, menteri mengaku juga 1MDB memang bermasalah. Ini mencatat sejarah negara kita.

“Masalah aliran tunai 1MDB bukan kecil, RM 50 bilion bukan kecil,”ujar Tony kepada pemberita di ruang lobi parlimen.

Tony yang ditemani Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dalam sidang media hari ini menambah, beliau tidak percaya RM 950 juta yang disalurkan kerajaan kepada 1MDB adalah kali pertama dan terakhir.

“Situasi kewangan 1MDB terlampau teruk, mereka tidak ada wang sebenarnya.

“Saya percaya suntikan RM 950 juta ini hanyalah mukadimah sahaja, untuk selesaikan bayaran faedah syarikat itu yang terkumpul dari Mac hingga Jun tahun lalu,”ujar Tony.

Muhyiddin harus letak jawatan

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, perkembangan terbaru berhubung skandal 1MDB ini menunjukkan wujud perpecahan di kalangan Jemaah Menteri.

“Tindakan ‘bail-out’ RM 950 juta ini adalah bercanggah dengan apa yang Muhyiddin cakap selepas mesyuarat kabinet bahawa tidak akan ada ‘bail out’ terhadap 1MDB.

“Percanggahan ini seolah-olah cubaan menipu rakyat dan memesongkan fakta,” kata Rafizi.

Tegas Rafizi kenyataan Muhyiddin itu membuktikannya tidak layak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Kita minta dia turun. (Lebih) baik beliau letak jawatan TPM yang disandangnya sekarang,” tegas Rafizi. – Roketkini.com