SUBANG JAYA, 13 MAC: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menghapuskan undang-undang zalim termasuk Akta Hasutan hanya retorik politik bertujuan meraih undi dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu.
Sangeet Kaur Deo, anak kepada mendiang Karpal Singh berkata, adalah lebih berbahaya apabila kerajaan menggunakan akta tersebut dengan pelbagai hujah, antaranya bagi mempertahankan keharmonian kaum di negara ini.
“Najib kata nak kaji Akta Hasutan. Tapi kata-kata itu diucap hanya ketika sebelum pilihan raya umum (ke-13),” kata Sangeet dalam ‘Ceramah Isu Semasa’ di Subang Jaya semalam.
Ujar Sangeet yang juga pengamal undang-undang, masalah berhubung Akta Hasutan berlaku apabila pemerintah hanya menafsir kenyataan mengikut versi mereka sendiri, dan tidak menekankan atau menyiasat kepada niat atau tujuan sesuatu pandangan.
“Niat (intention) tidak relevan. Sama ada apa yang dikatakan itu betul atau tidak, ia boleh menjadi tidak relevan,” ujar Sangeet,
Dalam ‘Ceramah Isu Semasa’ anjuran DAP Subang Jaya semalam, Sangeet mengimbas kembali dua dakwaan di bawah Akta Hasutan yang dikenakan terhadap mendiang bapanya, Karpal Singh.
“Pertama, pada 2002 ketiika kes fitnah pertama (ke atas Anwar Ibrahim). (Mendiang) Karpal berpandangan bahawa Anwar terkena racun. Dia kemudiannya didakwa di bawah Akta Hasutan.
“Kedua, pada 2012 apabila beliau membuat sidang media. Beliau mengeluarkan kenyataan bertulis dan diedarkan kepada media berhubung krisis politik di Perak dan pertukaran Menteri Besar.
“Itu pandangan undang-undang. Mereka sepatutnya faham bahawa posisinya sebagai pengamal undang-undang, yang memberi pandangan sebagai undang-undang.
“(Masalahnya) adakah salah sekiranya kita memiliki pandangan? soal Sangeet.
Anehnya kata Sangeet, dalam masa sama kerajaan seolah-olah membiarkan pandangan dari kumpulan konservatif seperti Perkasa dan ISMA yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman yang mengancam ketenteraman awam.
Tambahnya, pendakwaan terpilih dan salahguna kuasa bukan perkara yang remeh-temeh, kerana isu ini mempertaruhkan kebebasan orang ramai, dan peranan parti pembangkang yang tradisinya kritikal terhadap dasar pemerintah.
“Masalahnya, bila kamu kritik kerajaan, kamu (akan) didakwa.
“Sebab itu kita kena gunakan suara kita untuk menghentikan salahguna kuasa,” tegas Sangeet. – Roketkini.com