Berita

Halang ADUN PKR lawat Anwar, DAP kecam tindakan kerajaan

BUKIT MERTAJAM, 13 MAC: Pengarah Pendidikan DAPSY Steven Sim menyelar tindakan kerajaan menghalang permohonan ADUN Seberang Jaya Dr Afif Bahardin untuk melawat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara.

Dr Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang telah memohon kepada Jabatan Penjara untuk melawat Anwar bagi menyelesaikan urusan rasmi melibatkan peruntukan dan keputusan dasar di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Namun, permohonan itu ditolak melalui telefon, dan menyatakan kononnya ia ditolak atas faktor keselamatan.

“Sudahlah UMNO bawa pendakwa kes Anwar Ibrahim (berceramah ke seluruh negara) untuk aibkan dia. Kini tak beri dia berjumpa kenalan dan keluarga pula?

“Anwar ini bahaya sangatkah? Adakah dia ini pengganas Zionis dan Al-Qaeda sampai banyak sangat usaha kerajaan UMNO nak patahkan Anwar?” soal Steven.

Beliau kesal dengan tindakan dilakukan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri yang dalam masa sama hanya mendiamkan diri terhadap kecurian berbilion ringgit wang rakyat.

“Rakyat sedang lihat dan nilai kerajaan ini. Ini bukan tahun 1998, ini tahun 2015.

“Mereka mahu patahkan Anwar. Yang curi duit negara berbilion ringgit dan berfoya-foya di Hollywood, apa cerita?

“Saya mahu nasihat Perdana Menteri, rakyat adalah hakim kepada negara ini.

“Jangan main-main dengan amanah yang ada pada kamu,” tegas Steven lagi. – Roketkini.com