Berita

Himpunan #KitaLawan: DAPSY selar penahanan, solidariti jika Teo Kok Siong ditahan

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa menghentikan tindakan zalim terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis yang terlibat dalam Himpunan #KitaLawan.

Majlis Eksekutif Pemuda DAP (DAPSY) berkata, kebebasan berhimpun merupakan hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan dan tindakan keterlaluan PDRM merupakan penghakisan hak asasi kepada seluruh warga Malaysia.

“Kami menyeru PDRM menghentikan pemangsaan politik ke atas aktivis dan ahli-ahli politik Pakatan Rakyat dengan menahan mereka di balai polis tanpa alasan munasabah,” kata Setiausaha DAPSY Tan Hong Pin.

Pihaknya turut menyatakan sokongan padu kepada Ketua DAPSY Teo Kok Seong yang difahamkan akan dipanggil polis bagi membantu siasatan berhubung penganjuran himpunan #Kita Lwan 7 Mac lalu.

“Majlis Eksekutif DAPSY telah mengadakan mesyuarat pada 10 Mac lalu. Kami memberikan sokongan padu dan solidariti tidak berbelah kepada Teo (sekiranya) menghadapi pemangsaan politik.

“Teo telah dimaklumkan bahawa PDRM memintanya hadir diri ke IPD Dang Wangi untuk memberi kerjasama bagi siasatan tersebut,” kata Hong Pin.

Pada 11 Mac lalu, Nik Nazmi dibebaskan selepas tiga hari direman berikutan penglibatannya menganjurkan Himpunan 307 Kita Lawan.

Beliau ditahan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan berulang sebagai penganjur.

Selain Nik Nazmi, turut ditahan ialah Setiausaha Pengelola PKR Fariz Musa dan Bendahari Pemuda PAS Pusat, Mohd Fakhrul Razi Mohd Mokhtar. – Roketkini.com