Berita

Isu Paul Phua: DAP cabar Zahid Hamidi kemuka bukti surat bekas menteri

KUALA LUMPUR, 13 MAC: DAP mencabar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar menunjukkan surat yang ditulis oleh Menteri Dalam Negeri sebelum beliau kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengenai kes Paul Phua.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata, Zahid tidak boleh mendiamkan diri jika benar beliau memiliki lambakan surat dan perjanjian yang ditandatangani menteri terdahulu kerana ia mesti ditunjukkan sama ada kepada umum atau Parlimen dalam kadar segera.

“Perkara ini melibatkan kepentingan awam dan negara yang memberi kesan secara langsung bukan saja atas kredibiliti Kementerian Dalam Negeri (KDN) tapi terhadap Zahid dan pemimpin di jabatan itu sebelum dirinya.

“Sebagai menteri, Zahid terikat untuk membuktikan rekod tersebut dan secara peribadi beliau perlu bersuara untuk membersihkan namanya.

“Tapi jika surat itu tidak wujud, maka Zahid tidak boleh lagi terus kekal sebagai pemimpin untuk KDN dan perlu sedia meletakkan jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Biro Undang-Undang DAP itu juga mengingatkan Zahid supaya sedar bahawa terdapat perbezaan ketara antara surat biasa yang ditulis kepada negara-negara asing dari surat yang beliau tandatangani.

Menurut Gobind, tidak boleh dinafikan lagi bahawa surat Paul Phua itu adalah penting kerana mengandungi maklumat dan butiran mengenai individu yang terlibat dalam siasatan kes jenayah berterusan.

“Surat tersebut juga sehingga saat ini masih gagal untuk membuktikan ada rundingan atau rujukan telah dibuat kepada polis, peguam negara atau kabinet sebelum ia ditandatangani Zahid.

“Ada juga kebimbangan yang timbul tentang kemungkinan pendedahan rahsia yang telah dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi (OSA) tanpa dinyah-rahsiakan dalam surat itu,” ujarnya.

Zahid hamidi semalam mendakwa bahawa beliau mendapat malu besar apabila diserang bertubi-tubi berikutan suratnya kepada FBI berhubung kes Phua.

Walhal katanya, menteri-menteri terdahulu juga pernah menandatangani surat yang sama dan mereka akan malu jika beliau mendedahkan surat serta perjanjian itu. – Roketkini.com