Berita

Mutu pendidikan makin merudum, apa Muhyiddin buat?

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, selaku Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meletakkan jawatan kerana gagal meningkatkan prestasi pendidikan negara dan bertindak segera selepas hasil penilaian Program Penilaian Pelajar Internasional (PISA) dikeluarkan lebih setahun lalu.

“Berdasarkan rekod menyedihkan sepanjang sepuluh tahun beliau bergelar Menteri Pendidikan, Muhyiddin seharusnya meletakkan jawatan.

“Ramai lagi rakyat yang mampu menjadi Menteri Pendidikan bagi memulakan usaha membentuk sistem pendidikan bertaraf dunia kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masalah pendidikan negara dibawah pentadbiran Muhyiddin bukan hanya sekadar penurunan prestasi pelajar, malah tiga lagi masalah lain telah disebut dalam PISA dan kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS).

“Malaysia tersekat di kedudukan sepertiga terbawah dari kalangan negara yang terlibat dalam penilaian antarabangsa dan tidak membuat sebarang peningkatan menuju tingkat sepertiga teratas dari kalangan negara-negara yang dinilai.

“Walaupun berada di kedudukan sepertiga terbawah, Malaysia sedang dipintas oleh negara-negara lain seperti Kazakhstan dan Thailand,” tegasnya.

Kata Kit Siang, keputusan yang paling tidak menyenangkan ialah bertambahnya jurang antara Malaysai dan negara-negara berprestasi cemerlang.

Ia berdasarkan kesenjangan dalam skor antara murid berumur 15 tahun di Malaysia berbanding rakan seusia di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai berdasarkan penilaian PISA sebelum ini.

“Berasaskan perbezaan 38 markah skala PISA, kesenjangan tersebut kian melebar ke tahap di mana seorang pelajar 15 tahun di Shanghai, Singapura dan Korea Selatan mendapat lebih empat ke lima tahun persekolahan berbanding rakan seusia di Malaysia,” ujarnya.

Kit Siang tuut mengecam kenyataan Muhyiddin yang terkejut dengan prestasi hambar pelajar Malaysia dalam penilaian antarabangsa walaupun jutaan ringgit telah dibelanjakan untuk memperbaiki sistem pendidikan.

“Hanya selepas 15 bulan menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, baru sekarang dia terkejut dengan prestasi menyedihkan anak-anak Malaysia, padahal hasil penilaian PISA telah diterbitkan 15 bulan lalu.

“Ini merupakan kali pertama Muhyiddin menyatakan rasa terkejutnya atau memberi ulasan terbuka mengenai hasil PISA 2012.

“Sepanjang 15 bulan lalu, apa dia lakukan? soal Kit Siang. – Roketkini.com