Berita

Skandal 1MDB: Ketua Polis Negara perlu jelas percanggahan

GELANG PATAH, 13 MAC: Percanggahan kenyataan Ketua Polis Negara dan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah(SPRM) tentang siasatan 1MDB menunjukkan pentadbiran badan-badan kerajaan sudah semakin celaru.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini mempersoalkan percanggahan antara kedua-dua badan PDRM dan SPRM itu dalam isu penubuhan pasukan khas gabungan polis, SPRM dan Jabatan Peguam Negara di samping mendesak penjelasan benarkah adanya penubuhan pasukan khas itu.

“KPN kata pasukan khas itu yang juga akan siasat Perdana Menteri, namun disangkal Ketua SPRM Abu Kassim Mohamed yang berkata pada hari yang sama bahawa SPRM akan menunggu laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB sebelum memulakan siasatan sendiri.

“Abu Kassim seolah-olah tidak tahu-menahu adanya pasukan siasatan khas yang ditubuhkan (menurut KPN) pada minggu sebelumnya bagi menyiasat 1MDB.

“KPN dan SPRM perlu jelaskan benarkah ada penubuhan gabungan tiga agensi untuk siasat 1MDB itu, atau ia hanya imaginasi KPN?” soal Kit Siang.

Percanggahan ini memperlihatkan seolah-olah KPN membuat kenyataan tiada fakta dalam siasatan 1MDB yang didakwa turut melibatkan Perdana Menteri Najib Tun Razak sementara pihak SPRM pula seperti tidak ada maklumat tentang perkembangan terbaru 1MDB yang berhutang RM42 bilion itu.

Namun, menurut Kit Siang belum pun sempat ada penjelasan dari pihak KPN mengenai percanggahan kenyataan itu. Keesokan harinya iaitu 10 Mac, Khalid secara tiba-tiba mengumumkan bahawa pasukan khas gabungan tiga agensi yang diumumkan tempohari hanya akan memulakan siasatan mereka ke atas 1MDB hanya selepas Ketua Audit Negara selesai dalam penelitian mereka jika ada salahlaku.

“Apa sudah jadi kepada kesombongan Khalid sehari sebelum itu yang mahu menyiasat Perdana Menteri, ketika beliau mengisytiharkan ‘Tiap-tiap laporan yang dibuat, kami akan buka siasatan. Apabila ada kesalahan yang dilakukan, kami akan terus siasat’?“ pertikai Kit Siang.

“Apabila Ketua Polis Negara yang gila twitter boleh beri kenyataan berubah-ubah tentang perkara penting mengenai siasatan polis berkaitan skandal RM42 bilion 1MDB, tampak ada sesuatu yang benar-benar celaru dalam pentadbiran di Malaysia.

“Khalid cipta rekod dunia sebagai ketua polis, keberaniannya dicampak ke dalam longkang dalam masa kurang 24 jam!

“Dia pasti tahu Najib sudah maklumkan pada Kabinet bahawa Ketua Audit Negara telah diarahkan mengaudit akaun 1MDB pada Rabu lepas.

“Bolehkah Khalid berikan penjelasan kepada seluruh rakyat Malaysia apa sebabnya tiba-tiba dia buang keberaniannya tidak sampai satu hari (setelah buat kenyataan beraninya)?” soalnya lagi. -Roketkini.com