Berita

Penahanan Ketua DAPSY cemar semangat demokrasi, rosakkan imej PDRM

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Majlis Eksekutif DAPSY Kebangsaan kecewa dengan tindakan polis menangkap Ketua Pemuda DAPSY Teo Kok Sing yang secara sukarela hadir ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung siasatan himpunan #KitaLawan 7 Mac lalu.

Teo yang juga Ahli Parlimen Rasah telah ditahan dibawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 143 Akta Kanun Keseksaan ketika menghadirkan diri di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pagi ini.

Menurut kenyataan Majlis Eksekutif DAPSY Kebangsaan, sehingga kini Teo masih belum direkodkan kenyataannya.

“Ini bukannya satu perkara yang biasa dan nampaknya arahan daripada pihak atasan masih ditunggu.

“Kelewatan yang tidak munasabah menyebabkan pegawai yang bertanggungjawab tidak efisien.

“Kami menggesa pihak polis membebaskan Teo serta-merta kerana beliau sememangnya tidak perlu ditahan atau melakukan apa-apa kesalahan serius,” tegas Majlis Eksekutif DAPSY Kebangsaan

Tambah kenyataan tersebut, Teo yang merupakan seorang Ahli Parlimen kini sibuk dengan sidang Dewan Rakyat, dan menjadi kewajipan pihak polis tidak mengganggu tugasnya.

“DAPSY mendesak pihak polis menghentikan tindakan ini terhadap mana-mana individu berhubung protes #KitaLawan demi memelihara integriti PDRM dan hak berhimpun selaras semangat demokrasi yang telah termaktub dalam perlembagaan.

“Kami mendesak Perdana Menteri Najib Tun Razak dan Ketua Polis Negara untuk membebaskan PDRM dari menjadi aparatus politik UMNO dan BN,” tegas kenyataan tersebut. – Roketkini.com