Berita

Sindrom penafian kerajaan musnahkan mutu pendidikan negara

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Peruntukan berbilion ringgit kerajaan kepada pendidikan negara tidak membuahkan hasil akibat sebahagian besar daripadanya dibelanjakan untuk infrastruktur yang tdak diperlukan, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari.

Beliau berkata, tiada guna kerajaan meningkatkan peruntukan pendidikan namun mengabaikan keperluan mendesak untuk melatih dan meningkatkan kemahiran guru.

“Dalam Belanjawan 2015, sebagai contoh, jumlah peruntukan bagi perkembangan profesional para guru dikurangkan dari RM1.54 bilion tahun 2014 kepada hanya RM961 juta.

“Ini termasuk pengurangan latihan pra-perkhidmatan daripada RM948 juta pada tahun 2014 kepada RM851 tahun ini.

“Latihan kepimpinan pula telah dipotong dua pertiga daripada jumlah RM181 juta kepada RM62 juta danpaling teruk adalah latihan dalam perkhidmatan iaitu dari RM410 juta kepada hanya RM48 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zairil berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ‘terkejut’ dengan keputusan akademik pelajar Malaysia yang lemah dalam penilaian Program Penilaian Pelajar Internasional (PISA) kerajaan setelah kerajaan melabur berbilion ringgit dalam sektor pendidikan.

“Sebenarnya prestasi lemah pelajar kita dalam PISA tidak mengejutkan.

“Tapi apa yang paling mengejutkan adalah sindrom penafian dan keutamaan yang tidak kena pada tempatnya dengan menyalurkan wang pembayar cukai kepada perkara yang tidak produktif.

“Ini seperti projek infrastruktur besar yang hanya memberi faedah kepada pembekal teknologi swasta dengan mengorbankan rakyat khususnya guru dan pelajar itu sendiri,” tegasnya.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP menyatakan, kerajaan ternyata lebih cenderung menghabiskan berbilion-bilion ringgit kepada komputer dan perisian yang kemudiannya terbengkalai selepas dilaksana.

Antaranya, peruntukan kelengkapan IT bernilai RM3 bilion untuk projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan projek RM4.1 bilion 1BestariNet yang hanya digunakan oleh 1 peratus pelajar mengikut laporan Ketua Audit Negara 2013.

Semalam, Muhyiddin menyatakan rasa terkejut dengan keadaan pelajar Malaysia yang terus ketinggalan berbanding rakan seusia di beberapa negara walaupun kerajaan mengeluarkan belanja besar bagi sektor pendidikan.

Berdasarkan kajian PISA dan Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS), Malaysia telah mencatatkan rekod yang amat teruk dalam tahap pendidikan negara. -Roketkini.com