Berita

“1MDB, ibu kepada segala skandal penipuan”

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mengecam kegagalan juruaudit KPMG menjalankan tugas memberi amaran berhubung usahasama meragukan antara 1MDB dengan PetroSaudi International (KPI).

Kata Tony, KPMG seharusnya mempunyak akses penuh ke atas perjanjian tersebut dan menyemak segala urusniaga berkaitan termasuk sejumlah wang bernilai RM2.5 bilion yang dipindahkan dari 1MDB kepada KPI.

“Saya tidak tahu jika ada orang KPMG dalam forum ini, tapi saya ingin menyatakan bahawa KPMG telah gagal melindungi kepentingan rakyat Malaysia,” katanya dalam forum 1MDB: Berakhirnya Sebuah Kejatuhan, petang tadi.

Tony mengulas tindakan KPMG sebagai juruaudit yang tidak memberi amaran, dimana syarikat milik penuh kerajaan itu membayar sebanyak USD1 bilion kepada anak syarikat PSI (1MDB-PetroSaudi) walaupun tanpa rekod memberangsangkan.

PSI menubuhkan 1MDB-PetroSaudi pada 18 September 2009, 10 hari sebelum anak syarikatnya menerima USD1 bilion daripada 1MDB.

Berdasarkan pendedahan Sarawak Report, empat hari selepasa 1MDB-PetroSaudi ditubuhkan, PSI menandatangani perjanjian dan mendakwa anak syarikat itu berhutang sebanyak USD700 juta.

Pada 29 September tahun yang sama, 1MDB membeli 40 peratus saham baru dalam 1MDB-PetroSaudi dan menyuntik RM1 bilion dalam bentuk wang tunai.

Keesokannya, AS700 hutang sebelum ini telah dibawa keluar daripada 1MDB-PetroSaudi dan diberi kepada PSI.

Menurut Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP, butir perjanjian tersebut tidak pernah dilaporkan dalam laporan kewangan pertama 1MDB (Mac 2010).

Jelasnya, pelaburan sebanyak USD1 bilion itu seterusnya telah dinilai semula kepada AS1.2 bilion dan dijual kembali kepada PSI, tapi wang tersebut ditukar dalam bentuk nota Murabaha (pinjaman Islam) serta diserahkan kepada 1MDB-PetroSaudi.

“Dengan menukarkannya dalam bentuk pinjaman kepada PetroSaudi, 1MDB kemudiannya dapat mengelak daripada melaporkan segala butiran perjanjian usaha sama mereka dalam Laporan Kewangan 2010.

“Tindakan ini jelas menimbulkan tanda tanya bahawa ada sesuatu tidak kena telah berlaku dan apa yang boleh saya katakan, inilah dia – ibu kepada segala skandal penipuan,” ujarnya. – Roketkini.com