Berita

Arah siasat 1MDB, taktik lapuk Najib selamatkan diri – Ketua Wartawan Sarawak Report

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Jabatan Audit Negara mengaudit akaun 1MDB hanya langkah menutup kontroversi syarikat milik penuh kerajaan itu, kata Ketua Wartawan Penyiasat Sarawak Report Clare Rewcastle.

Kata Clare,, taktik tersebut sebenarnya merupakan langkah lapuk yang akan diambil oleh mana-mana ahli politik yang terlibat dalam skandal penyelewengan.

Namun, beliau berharap rakyat Malaysia mengagalkannya dengan berterusan memberikan tekanan ke atas keseluruhan skandal yang menjejaskan kewangan negara.

“Arahan Najib supaya audit dilakukan sebenarnya adalah langkah ‘klasik (lapuk)’ untuk melindungi masalah yang dihadapi,” kata Clare depan lebih 1,000 hadirin melalui persidangan video dalam forum ‘1MDB: Berakhirnya Sebuah Kejatuhan di Crystal Crown Hotel, petang tadi.

“Apabila sesuatu siasatan dibuat, ia tentunya mengambil masa dan ini merupakan kaedah untuk mereka menyimpan segala penyelewengan dengan lebih lama,” ujarnya.

Clare yang telah mendedahkan banyak bukti-bukti kegiatan kotor 1MDB juga menegaskan, bahawa, apabila audit dilakukan kerajaan pasti mengambil langkah dengan tidak menjawab sebarang soalan atas alasan siasatan belum selesai.

Katanya lagi, pada masa yang sama, kerajaan sudah tentu akan menggunakan pengaruhnya supaya hasil siasatan yang dikeluarkan adalah positif dan menyebelahi mereka.

Beliau turut menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meneruskan tekanan dan memohon polis agar dapat menjalankan siasatan lebih menyeluruh kepada sesiapa yang terlibat.

“Orang ramai di Malaysia mempunyai hak untuk melihat siasatan dapat dijalankan secara jujur dan profesional.

“Siasatan tersebut haruslah dikendalikan oleh pihak berkuasa yang tidak boleh dipengaruhi, dan yang boleh melakukan penipuan ke atasnya.

“Saya merasakan ada penglibatan beberapa individu yang mempunyai kedudukan tinggi, dan mereka ini rakyat Malaysia dan mendanai 1MDB,” ujarnya.

Sebelum ini, Sarawak Report mendedahkan pelbagai bukti berhubung penyelewengan 1MDB seperti pembongkaran perbualan emel oleh jutawan Jho Low dengan PetroSaudi International yang turut membabitkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak..

Manakala Jho Low dilaporkan turut terlibat sebagai dalang di belakang penipuan syarikat tersebut yang memiliki hutang terkumpul berjumlah RM42 bilion dalam masa lima tahun. – Roketkini.com