Apabila mendapat tahu saya menulis bagi Roketkini, ada kenalan yang mengatakan saya menulis bagi lidah rasmi sebuah parti politik cauvinis yang mengamalkan perkauman.
Alasan mudah yang diberikan adalah kononnya DAP sebuah parti politik eksklusif untuk kaum Cina. Saya bukan ahli mana-mana parti politik, tetapi saya tidak dapat menerima tuduhan tidak berasas yang dilemparkan.
Untuk menjelaskan secara halus mengenai salah tanggap orang ramai (kenalan saya) terhadap DAP, saya biasanya kembali kepada epik Ramayana. Mungkin juga kerana orang India dan Melayu sama-sama kenal dengan teks klasik berkenaan.
Dalam karya Sanskrit tulisan Valmiki itu – serta terjemahan dalam pelbagai bahasa dunia – kita biasa mengenali watak Rama, Sita, Laksamana, Ravana dan Hanuman.
Watak-watak lain yang mungkin muncul dalam ingatan ialah Surpanaka, Sugriwa dan Vali. Watak-watak ini juga hadir dalam novel parodi retorik Hanuman: Suara Hati (2013) yang saya tulis dengan memberikan sentuhan baru.
Sekiranya diperhatikan, Hanuman, Sugriwa dan Vali adalah kelompok Vanara. Istilah ini biasanya dirujuk sebagai monyet, kera dan lotong. Ada juga pengkaji Ramayana yang mengatakan Vanara sebenarnya sekelompok penduduk asli di India.
Namun, bagi tujuan penerangan di sini, kita berpegang pada pandangan dan pemahaman umum bahawa Vanara adalah kelompok monyet. Ada banyak monyet yang tinggal di hutan Kishkindha.
Selepas Sita dilarikan oleh Ravana ke Langkapuri, kumpulan Vanara membantu Rama dalam usahanya menumpaskan raksasa itu dan menyelamatkan Sita.
Demikianlah kisah yang lazim diketahui orang – kanak-kanak hingga warga emas. Kita sering dikisahkan mengenai kehebatan Hanuman dan monyet-monyet lain yang membantu Rama dalam epik Ramayana.
Jambavan Main Peranan Penting
Akan tetapi, sebenarnya masih ada pelbagai binatang lain yang turut memainkan peranan penting dalam epik berkenaan. Misalnya, watak seekor burung bernama Jatayu yang ternampak Ravana menculik Sita.
Semasa Ravana terbang – ya, terbang menggunakan kenderaan majis – membawa Sita, Jatayu cuba menumpaskannya. Malangnya, Jatayu pula yang tewas.
Adiknya, Sampati, ditemui oleh kumpulan Vanara yang sedang dalam usaha mengesan Sita. Sampati yang memaklumkan perihal Sita sudah dibawa terbang ke Langkapuri.
Rombongan Vanara dari hutan Kishkindha dihantar ke bahagian utara, selatan, timur dan barat untuk mencari Sita. Rombongan ke selatan yang disertai oleh Hanuman sebenarnya diketuai oleh Jambavan.
Jambavan bukan seekor monyet, sebaliknya seekor beruang. Maknanya, Kishkindha bukan hanya dihuni monyet. Terdapat juga beruang dan binatang-binatang lain. Malah, istilah Vanara secara logik tidak hanya merujuk kepada kumpulan monyet dalam konteks Kishkindha.
Watak Jambavan tahu rahsia silam Hanuman. Monyet sakti itu terkena sumpahan sehingga melupai segala kekuatan yang dimiliki. Jambavan berperanan memberi motivasi sehingga Hanuman menyedari kuasa sebenar yang dimilikinya.
Malah, selepas mengetahui Sita dijadikan tahanan di Langkapuri, Rama dan Laksamana hampir putus asa. Jambavan sekali lagi tampil memberikan semangat dan menggesa mereka meneruskan perjuangan demi dharma (truth) dan keadilan.
Kisah pembinaan jambatan yang menghubungan bahagian selatan India ke Langkapuri (Sri Lanka) juga membuktikan penglibatan pelbagai haiwan dan binatang selain daripada Vanara.
Nala berperanan sebagai jurutera yang merancang pembinaan Jambatan Ramasetu. Pelbagai spesis monyet, kera, primat dan lotong membantu kerja-kerja pembinaan.
Raikan Kemajmukan Dalam Kehidupan
Dalam epik Ramayana, hampir kesemua spesis binatang dan burung yang terdapat di India digambarkan hadir secara sukarela untuk membantu kerja-kerja pembinaan jambatan berkenaan.
Tentu pembaca masih ingat kisah lima ekor tupai yang menawarkan diri untuk digunakan bagi mengisi lompang yang terdapat pada jambatan. Rama dikatakan merestui mereka dengan jarinya; dan tiga garisan pada badan tupai kononnya berasal dari situ.
Selepas lima tupai itu tampil menawarkan diri, ratusan ribu tupai dikatakan muncul untuk turut membantu kerja-kerja pembinaan Jambatan Ramasetu. Kisah ini boleh juga ditonton dalam pelbagai versi filem dan kartun.
Ternyata epik Ramayana tidak hanya menampilkan satu kaum iaitu Vanara sebagai watak yang memegang peranan. Malah, pada tahap falsafah Hindu yang lebih tinggi, ia bertujuan mengingatkan pembaca bahawa setiap ciptaan Tuhan mempunyai peranan penting dalam kehidupan ini.
Bagaimanapun, dalam versi ringkas Ramayana, bagi memudahkan cerita, hanya kaum Vanara daripada kelompok monyet ditampilkan. Akibatnya, sesiapa yang tidak tahu kisah penuh akan beranggapan hanya monyet berperanan dalam epik berkenaan.
Kepada kenalan dan rakan yang mempunyai tanggapan silap mengenai DAP, saya akan meminta mereka membaca dan mengenali parti politik itu secara lebih dekat sebelum membuat kenyataan palsu dan berunsur fitnah.
Paling tidak, dalam Pilihanraya Umum Ke-13 (2013), DAP meletakkan lima calon Melayu bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Penglibatan kaum India dalam DAP tentu sudah diketahui umum.
Malah, khabarnya, orang Iban, Bidayuh, Kadazandusun dan etnik-etnik lain di Sarawak dan Sabah juga semakin berperanan dalam DAP. Mustahil jika masih ada pihak yang tidak nampak kemajmukan kaum, etnik dan kaum yang wujud.
Maka, untuk berlaku adil, sama seperti dalam kes Ramayana, sebelum menuduh mana-mana pertubuhan hanya membuka pintu bagi kaum tertentu, eloklah mengetahui keseluruhan kisah.
Jangan hanya bergantung pada cebisan berita palsu berbentuk manipulasi fakta.
*Uthaya Sankar SB adalah peminat bahasa, sastera, filem, seni dan budaya. Beliau seorang penulis sepenuh masa.