Berita

DAP kutuk penahanan Nurul Izzah, solidariti nyalaan lilin depan lokap Jinjang malam ini

KUALA LUMPUR, 16 MAC: DAP mengutuk sekeras-kerasnya salahguna kuasa pihak polis menahan Nurul Izzah Anwar di bawah Akta Hasutan dan menggesa Naib Presiden PKR itu dibebaskan segera.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataannya berkata, tiada sebab untuk menahan Nurul Izzah, kerana Ahli Parlimen Lembah Pantai itu tidak akan melarikan diri.

“Beliau bukannya seorang perompak atau penjenayah yang telah membunuh sesiapa.Apa sebab pihak polis perlu menahan Nurul Izzah semalaman?

“Ketika Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu disoal siasat oleh pihak polis, tidak pula menteri Umno itu ditahan reman semalaman oleh pihak polis.

“Malah pihak polis pula menyatakan bahawa Ismail seorang yang ‘sibuk’ dan tidak mempunyai masa untuk disiasat.

“Tetapi kini ketika Dewan Rakyat sedang bersidang, pihak polis bertindak menangkap Nurul Izzah, seorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat untuk disiasat di bawah Akta Hasutan ekoran apa yang diucapkannya di dalam Dewan? kata Guan Eng.

Ujarnya, DAP akan tetap bersolidariti dan memberikan sokongan walau apa pun yang terjadi dan menggesa kerajaan pusat berhenti menjadikan polis budak suruhan untuk menahan, mengganggu dan memangsakan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Nurul Izzah ditahan hari ini ketika hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi berhubung perhimpunan #KitaLawan.

Siasatan ke atas Nurul Izzah itu dijalankan susulan laporan polis oleh bekas MP Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendakwa kritikan ke atas badan kehakiman merupakan kenyataan yang menghina dan menghasut.

Ia berhubung tindakan Nurul Izzah yang membacakan sebahagian daripada ucapan bapanya, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam persidangan Dewan Rakyat, minggu lalu.

Kandungan ucapan itu antara lainnya mengkritik para hakim yang menyabitkan Anwar dengan kesalahan Liwat II.

Sementara itu, Sekretariat #KitaLawan dalam laman Facebook memaklumkan, himpunan solidariti nyalaan lilin akan diadakan malam ini di hadapan Lokap Berpusat Jinjang. – Roketkini.com