Rencana

Hudud: Antara igauan dan realiti

Akhir-akhir ini kita sering mendengar cadangan kerajaan negeri Kelantan untuk menjalankan dan menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam atau lebih dikenali sebagai Hudud.

Rang undang-undang ini telah pun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan sejak tahun 1993, namun penguatkuasaannya masih lagi tertangguh.

Saya sendiri seorang Islam dan adalah tidak wajar sekiranya saya tidak menyokong undang-undang agama saya ini. Namun begitu, secara keseluruhannya apa-apa sahaja pindaan terhadap perlembagaan Negara dan undang-undang tubuh negeri perlu diperhalusi secara mendalam bukan sahaja oleh sebelah pihak tetapi oleh keseluruhan pandangan rakyat negara ini.

Di Malaysia, rakyat kita adalah berbilang kaum. Sensitiviti kaum perlu dijaga agar semua rakyat dapat merasai tiada yang terpinggir daripada hak mereka.

Hudud adalah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh 12 buah negara Muslim, kebanyakannya di Timur Tengah.

Saya sendiri pernah tinggal di sana sekitar 4 tahun sewaktu melanjutkan pelajaran, namun yang saya dapati hudud hanya dikuatkuasakan terhadap golongan bawahan dan penguatkuasaannya tidak menyeluruh sepertimana undang-undang konvensional sedia ada, bukti kes pula sukar dikemukakan kerana saksi-saksi yang diperlukan adalah ramai.

Sekarang dengan kemajuan sains dan teknologi kita dapat buktikan menerusi DNA dan CCTV dengan berkesan.

Kes-kes berprofil tinggi seperti kes pembunuhan Kenny Ong dan Altantuya Sharibuu hanya dibuktikan menerusi DNA dan laporan system pencawang telekomunikasi.

Kita perlu berfikir ke hadapan dalam hal mencari bukti yang saintifik kerana dunia hari ini adalah serba canggih dan penjenayah juga semakin canggih dalam menjalankan jenayah mereka.

Rasuah semakin bermaharaja-lela dan ramai yang sanggup menjunjung dan bersumpah di masjid dengan Al-Quran semata-mata bagi meyakinkan masyarakat terhadap sesuatu isu panas demi menegakkan hasrat mereka.

Pembohongan dan fitnah semakin menjadi-jadi pada hari ini. Nilai manusia pada pada hari ini tidak lagi boleh dinilai dengan percakapannya. Oleh sebab itulah bukti saintifik amatlah penting.

Undang-undang adalah simbol kepada maruah negara kita. Paksaan terhadap hudud tidak sepatutnya berlaku di negara demokrasi ini.

Hak rakyat pelbagai kaum harus didengari secara mendalam dan diperincikan. Kalau tidak, sudah tentu rakyat pelbagai-kaum ini akan menjatuhkan hukuman kepada penggubal pindaan hudud ini dalam pilihanraya akan datang.

Kita adalah sebuah negara demokrasi yang mana sokongan rakyat pelbagai kaum amatlah penting.

Pelbagai tekanan telah dilemparkan kepada pentadbiran PAS di Kelantan sejak pentadbiran Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat lagi. Kerajaan pusat tidak putus-putus menganak-tirikan pentadbiran PAS Kelantan walaupun majoriti rakyat Kelantan adalah Melayu.

Inilah rupa sebenar UMNO yang hanya memperjuangkan golongan kroni dan pengampu mereka sahaja. UMNO sanggup berbuat apa sahaja di saat getir, bekerjasama dengan UMNO ibarat kata pepatah Melayu – bagai lepaskan anjing tersepit.

Saya masih teringat ucapan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz di markaz PAS Kangar sebelum PRU yang lalu. Dalam ucapannya Almarhum ada menyatakan sewaktu PAS bekerjasama dengan UMNO pada tahun 1970-an akhirnya PAS berpecah menjadi 3 kumpulan, dan Almarhum juga berkata sekarang beliau mengetahui siapa UMNO dan dilafazkan dalam bahasa inggeris, “I know who you are,” yang disambut oleh gelak-ketawa hadirin yang hadir.

UMNO mempunyai agenda perjuangan yang berbeza dengan PAS dan pemimpin UMNO tidaklah bersih seperti pemimpin PAS.

UMNO berniat untuk memecahkan Pakatan Rakyat kerana 53% sokongan pengundi yang diperolehi PR tidak boleh nyenyakkan tidur Perdana Menteri Najib.

Sekiranya pemimpin UMNO terdiri daripada mereka yang beriman maka tiadalah rasuah,salah-guna kuasa dan penyelewengan serta penguatkuasaan undang-undang yang berat sebelah dikenakan kepada rakyat negara ini.

Pemimpin UMNO adalah orang Islam tetapi malangnya gagal mentadbir secara jujur sehinggakan nama baik Islam dan Melayu terjejas dan dipandang serong oleh bukan-Muslim.

Akhir sekali, saya sebagai seorang Muslim tidak berniat menghalang usaha murni Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hudud. Tetapi mereka perlulah berbincang secara terperinci dengan majlis peguam dan pemimpin-pemimpin PR terlebih dahulu, bukan dengan UMNO. Sekarang rakyat dan pengundi sedang memerhatikan PAS yang dahulunya berslogankan “PAS For All” dan “Negara Berkebajikan”.

Saya juga masih teringatkan pesanan – sekiranya kita hendak mencuci tong kotoran, hendaklah dicuci dari sebelah luar bukan dari sebelah dalam.

*Abdul Manan Bin Abdul Razak ialah Naib Pengerusi DAP Perlis. – Roketkini.com