Rencana

Kembalikan kemuliaan dan maruah Melayu

Seorang ahli falsafah dan juga sasterawan Sepanyol, George Santayana, pernah mengungkapkan kata-kata yang sangat masyhur: “barang siapa yang lupa sejarah akan dihukum untuk mengulangi kesilapan yang sama.”

Kini, walaupun sudah hampir 60 tahun digelar merdeka, negara ini masih terjerat dalam kancah perkauman dalam segala aspek kehidupan. Tidak kiralah sama ada pertikaian itu membabitkan soal ekonomi, hak asasi, pendidikan atau sebagainya, yang pastinya ia tenggelam dalam retorik jumud perkauman.

Ambil sebagai contoh isu kenaikan harga barang yang baru-baru ini digembar-gemburkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Sri Ismail Sabri. Segala logik dan kewarasan seolah-olah diketepikan apabila masyarakat Melayu diseru untuk memboikot perniagaan-perniagaan milik orang Cina untuk memaksa mereka menurunkan harga barang. Malah, restoran rantaian Oldtown White Coffee pula dinamakan sebagai contoh “kedai Cina” yang patut diboikot.

Apakah begitu dangkalnya hujah seorang menteri persekutuan, sedangkan beliau tahu harga barangan mustahil dikawal oleh peniaga Cina semata-mata. Dalam konteks ekonomi moden hari ini, terdapat pelbagai faktor termasuk faktor luaran seperti nilai wang ringgit yang boleh mempengaruhi harga barang. Pun begitu, tidak mungkin keseluruhan rangkaian perdagangan boleh dimonopoli oleh sesuatu kaum sahaja. Manakan bisa, khususnya apabila pelbagai barangan keperluan asas termasuk komoditi dan utiliti seperti minyak, gas, gula, beras dan kadar elektrik kesemuanya dikawal oleh Kerajaan Persekutuan. Malah, sekiranya berlaku kenaikan harga barang, berkemungkinan besar ia merupakan akibat daripada dasar Kerajaan Pusat seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang bakal diperkenalkan bulan hadapan.

Pada masa yang sama, pemangsaan mana-mana kedai juga tidak masuk akal, kerana tidak ada peniaga yang memaksa sesiapa melanggan di kedainya. Sekiranya harga yang ditawarkan tidak berpatutan, maka pengguna dengan secara sendirinya akan mencari alternatif lain. Itu dinamakan pasaran bebas!

Justeru, amat hairan sekali apabila restoran Oldtown White Coffee dinamakan oleh menteri sebagai contoh perniagaan Cina yang harus diboikot, walhal semakan dengan Suruhuanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan bahawa Oldtown White Coffee adalah syarikat berhad yang tersenarai dalam Bursa Malaysia. Antara pemegang saham utamanya pula termasuk Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad, Amanah Raya Trustees Berhad, Maybank Nominees (Tempatan) Sdn Bhd, RHB Capital Nominees (Tempatan) Sdn Bhd, Citicorp Nominees (Tempatan) Sdn Bhd, Citicorp Nominees (Asing) Sdn Bhd dan Hong Leong Assurance Berhad. Jelas, syarikat ini dimiliki pelbagai pelabur termasuk syarikat-syarikat kaitan kerajaan yang diuruskan orang Melayu.

Maka, apakah logik semberono Menteri Ismail Sabri? Adakah ini tahap pemikiran pemimpin daripada parti yang kononnya memperjuangkan martabat bangsa? Apakah yang sudah terjadi kepada orang Melayu sehingga hujah-hujah yang jelas tidak logik boleh diterima pakai oleh kepimpinan negara?

Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelangga

Walaupun sesetengah pimpinan Melayu kini tampak kian mengarut, ia tidak seharusnya mencerminkan citra bangsa Melayu yang sebenarnya berijwa besar. Sekiranya kita kembali mencermati sejarah, kita akan mendapati bahawa bangsa Melayu merupakan bangsa yang memiliki sifat unggul yang tidak kurang hebatnya berbanding bangsa-bangsa lain. Malah, sejarah ini sangat terserlah di negeri Pulau Pinang, di mana budaya keintelektualan telah berkembang subur pada suatu ketika dahulu.

Sebagai contoh, dari segi pemikiran, Pulau Pinang merupakan peneraju idea-idea pencerahan (enlightenment) atau pembaharuan (islah) dengan munculnya sekian banyak institusi pencetakan di negeri ini, termasuk Jelutong Press yang diterajui Tuan Guru Yusof Rawa. Malah, sebelum Perang Dunia Kedua, Pulau Pinang merupakan negeri yang memiliki jumlah mesin cetak terbanyak di Semenanjung Tanah Melayu.

Selain menerbitkan tafsir Al-Quran, akhbar, majalah dan buku-buku penting seperti al-Ikhwan, Saudara, dan Hikayat Faridah Hanom, Pulau Pinang juga menjadi pangkalan bagi ramai tokoh pemikir moden utama, antaranya Syed Sheikh al-Hadi, Ahmad Rashid Talu, Za’ba, dan Abdul Rahim Kajai.

Bukan itu sahaja, Pulau Pinang juga mempelopori sistem pendidikan moden di negara ini. Penang Free School, umpamanya, telah diasaskan pada tahun 1816 dan kini merupakan sekolah bahasa Inggeris yang pertama dan tertua di wilayah Asia Tenggara. Bahkan itu, sistem sekolah pondok juga berkembang pesat di negeri ini, sehinggakan pada tahun 1918 Syed Sheikh al-Hadi serta beberapa tokoh lain telah membina Madrasah Al-Mashoor, yang sering dirujuk sebagai sekolah pondok dengan sistem pendidikan moden pertama di negara ini.

Demikian juga halnya dalam bidang-bidang lain, Pulau Pinang telah menghadiahkan negara ini dengan ramai bakat seni dan budaya besar seperti penggubah lagu Datuk Ahmad Nawab, hero filem klasik Melayu Nordin Ahmad, Sasterawan-sasterawan Negara Dato’ Nordin Hassan dan Prof Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara), serta satu-satunya Seniman Agung Negara, Tan Sri P Ramlee.

Di mana silapnya?

Meskipun mewarisi tradisi keilmuan dan kebudayaan yang begitu masyhur, bangsa Melayu kini seolah-olah menjadi bangsa yang paling rapuh di negara ini. Jika Perhimpunan Agung Umno dan Utusan Malaysia dijadikan rujukan, maka orang Melayu ini adalah masyarakat yang tidak mampu bersaing, tidak mandiri dan tidak percaya diri. Apakah yang sebenarnya berlaku dalam 60 tahun terakhir ini sehinggakan bangsa yang begitu terbilang boleh melandai ke tahap serendah ini?

Pada hemat saya, kemorosotan bangsa ini ada kaitannya dengan sebab yang sangat mendasar, iaitu cara fikir atau cara pandang alam yang makin hari makin terkepung akibat kawalan dan pengaruh daripada pihak pemerintah.

Serongnya pandangan alam ini telah bermula seawal tahun 1968, apabila Pergerakan Pemuda Umno Malaysia menubuhkan badan yang dinamakan Jawatan Revolusi Mental. Hasil daripada usaha jawatankuasa ini, terbitlah buku Revolusi Mental pada tahun 1971 yang kononnya bermatlamat untuk merubah sikap, perangai dan pemikiran orang Melayu agar menjadi bangsa yang berdaya saing, terpuji dan mampu berdiri sendiri.

Cita-cita yang diuar-uarkan gagasan Revolusi Mental ini sememangnya sesuatu yang amat mulia. Namun, harus diingat bahawa usaha memajukan kaum Melayu ini tidak dimulakan oleh Umno. Sebetulnya, ia pernah diikhtiarkan oleh tokoh-tokoh awal seperti Abdullah Munshi melalui karya terkenalnya Kisah Pelayaran Ke Kelantan (1838) dan Hikayat Abdullah (1849). Antara tokoh lain yang juga pernah menyumbang ke arah kemajuan pemikiran kaum Melayu adalah Sheikh Tahir Jalaludin, Syed Sheikh al-Hadi, Abdul Rahim Kajai, Za’aba, Dr Burhanuddin al-Helmy dan ramai lagi.

Namun, apa yang membezakan Revolusi Mental dengan karya tokoh-tokoh terdahulu adalah cara pandangnya terhadap keperibadian Melayu yang sangat menghina dan meremehkan bangsa. Malah, Revolusi Mental telah dikritik hebat oleh Syed Hussein Alatas dalam bukunya Siapa yang Salah, Sekitar Revolusi Mental dan Keperibadian Melayu (1974).

Menurut Syed Hussein, buku yang dianggapnya sesat pemikiran dan penuh penyelewengan akademik itu banyak memperlecehkan keperibadian kaum Melayu dengan mengatakan bahawa kaum Melayu itu mewarisi tidak kurang 17 sifat buruk termasuk kurang rasional, kurang realistik, kurang imaginasi, boros, tidak menghargai masa dan takut mengambil risiko. Hujah-hujah untuk menyokong kenyataan ini pula sangatlah lemah dan banyak berdasarkan pandangan peribadi semata-mata.

Selain itu, The Malay Dilemma (1970) karya Tun Dr Mahathir Mohamad juga cenderung mengajukan hal yang sama, bahawa kemunduran kaum Melayu itu disebabkan perwatakannya yang dibentuk oleh iklim persekitaran. Menurut Mahathir, Melayu menjadi kurang rajin dan tidak produktif akibat keadaan hidupnya yang selesa dan tenteram di atas bumi yang subur serta tidak dilanda bencana alam yang dahsyat sebagaimana di China dan India.

Hujah penentuan iklim (climate determination) ini merupakan teori yang sudah lama ditolak oleh para akademik arus perdana kerana menafikan sifat paling asas manusia, iaitu kemampuannya untuk beradaptasi serta kapasiti akalnya untuk berfikir. Namun begitulah cara pandang alam pemimpin Umno mengenai bangsanya sendiri.

Kecelaruan fikiran ini bukan sahaja menunjukkan Umno tidak mempunyai suatu gagasan yang jelas untuk memajukan Melayu, malah hujah-hujah mereka ini sebenarnya menghina dan meremehkan bangsa yang kononnya diperjuangkan mereka.

Ayuh menggapai kemenangan

Sekarang tiba masanya kita membebaskan diri daripada jerat politik perkauman dan cengkaman minda terkepung hasutan pemerintah Umno. Ayuh kita menggapai kemenangan dan memajukan diri dan bangsa kita dengan merubah cara pandang alam kita dengan minda dan hati terbuka.

Marilah kita mulakan usaha untuk menghubungkan kembali ingatan masyarakat dengan kemasyhuran kebudayaan yang pernah tumbuh dan berkembang subur dalam kalangan umat kita. Sebagaimana tokoh-tokoh Melayu yang berjiwa besar dahulu, saya yakin kita dapat membina kembali kemandirian dan kepercayaan diri.

Lebih penting sekali, kita harus sedar bahawa kita tidak perlu menyekat orang lain demi meningkatkan diri – itu cara terdesak golongan yang rakus dan mabuk kuasa. Yakinilah, kita boleh berkembang dan mencapai kemenangan secara bersama dengan rakyat Malaysia yang lain.

Bersama-samalah kita mengembalikan kemuliaan dan maruah Melayu!