Berita

Insinerator Taman Beringin: Kegagalan di Pangkor menimbulkan kebimbangan

SERDANG, 17 MAC: Kegagalan untuk memastikan pembinaan sebuah insinerator kecil di Pulau Pangkor menimbulkan kebimbangan tentang keupayaan Kementerian untuk membina insinerator gergasi di Taman Beringin, Kepong.

Dr Ong Kian Ming, kegagalan mengurus insinerator di Pulau Pangkor semakin jelas daripada kiriman twitter berkenaan lawatan Menteri Pembangunan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan ke sana baru-baru ini.

Dr Ong menjelaskan bahawa Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI), sebuah NGO yang giat membantah pembinaan insinerator Taman Beringin, telah membuat lawatan ke sana pada September tahun lalu.

Daripada lawatan itu, KTI mendapati insinerator Pulau Pangkor mempunyai masalah pembakaran sampah yang menerbangkan debu-debu berbahaya.

Beliau sendiri juga telah membangkitkan masalah berkenaan dalam sesi Parlimen pada November tahun lalu namun tidak dihiraukan oleh menteri berkaitan.

“Saya juga telah meminta Menteri mengatur satu lawatan rasmi ke insinerator Pulau Pangkor untuk semua MP dan NGO yang berkepentingan bagi meyakinkan mereka bahawa kerajaan berkemampuan memastikan insinerator kecil itu dikendalikan dengan lancar,” jelas Dr. Ong.

Beliau menganggap menteri terbabit telah memekakkan telinga apabila mengadakan lawatan bersendirian ke insinerator terbabit.

“Malangnya permintaan saya itu tidak dihiraukan kerana Menteri telah melawat insinerator Pulau Pangkor tanpa menjemput pihak berkepentingan – Ahli-ahli Parlimen yang berminat dengan soal pengurusan sisa pejal, NGO seperti KTI yang menentang pembinaan insinerator, dan malah penduduk Pulau Pangkor,” ujarnya.

Menurut Dr Ong lagi, gambar lawatan itu menunjukkan bahawa masih ada masalah di insinerator Pulau Pangkor

“Jelas masih ada masalah operasi di sana sehingga memaksa Menteri dan rombongannya memakai topeng muka.

“Timbunan sampah yang tinggi dapat dilihat dalam gambar itu dan baunya jelas cukup kuat untuk memaksa mereka memakai topeng.

“Sebagai perbandingan, sewaktu saya melawat Tapak Pelupusan Sampah Bukit Tagar dan Tanjung Duabelas di Kuala Langat, saya tidak perlu memakai sebarang topeng,” kata Dr. Ong.

Gambar lawatan menteri berkenaan telah dikirim menerusi twitter, menunjukkan beliau sedang diberi taklimat oleh CEO syarikat XCNT yang diberikan projek membina empat insinerator mini di Langkawi, Pangkor, Cameron Highlands dan Tioman.

Prestasi buruk syarikat berkenaan telah disebut dalam laporan Ketua Audit Negara.

Bagi Dr Ong, kegagalan menteri terbabit mengundang pihak berkepentingan untuk menyertainya dalam lawatan itu menunjukkan seolah-olah ada yang hendak disembunyikan.

“Jika Menteri berkenaan tidak mampu meyakinkan orang awam bahawa Kementerian beliau mampu memastikan pembinaan dan perjalanan sebuah insinerator yang berkeupayaan melupuskan cuma 20 tan sampah sehari di Pulau Pangkor dengan menjemput pihak berkepentingan untuk mengiringi beliau dalam lawatan rasmi, bagaimana kita hendak merasa yakin kementeriannya akan mampu menunaikan janji membina dan mengendalikan insinerator gergasi dengan keupayaan membakar 1000 tan sehari di Taman Beringin, Kepong?” soal Dr. Ong.

Sehubungan itu, Kian Ming menyeru Rahman untuk dedahkan apa yang beliau dapati dari lawatan ke insinerator mini tersebut.

“Saya seru Rahman untuk dedah semua maklumat yang dia ada ketika beliau lawat insinerator Pulau Pangkor.

“Saya juga mahu beliau berjanji untuk jemput semua ahli parlimen dan NGO yang berminat termasuk saya dan KTI jika beliau melawat insinerator di Langkawi dan Cameron Highlands,” ujarnya lagi.-Roketkini.com