Berita

Bentang hudud: PAS Kelantan tikam belakang Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 18 MAC – Tindakan Kerajaan Negeri PAS Kelantan membentangkan Enakmen Jenayah Syariah di Dewan Undangan Negeri hari ini diibaratkan menikam belakang Pakatan Rakyat dan bertujuan memecahkan perikatan politik tersebut.

“DAP menegaskan bahawa kami membantah sekeras-kerasnya tindakan PAS Kelantan yang mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 Mac 2015 dan merupakan satu tindakan provokasi untuk memecahkan Pakatan Rakyat,” kata Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke.

Penegasa berkenaan dibuat dalam satu kenyataan yang mengulas pembentangan undang-undang hudud oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob hari ini.

“DAP konsisten dengan pendirian kami bahawa pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah atau Hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia,” jelasnya.

Menurut Ahli Parlimen Seremban itu lagi, sejak hari pertama DAP bekerjasama dengan PAS dan PKR dalam kerangka Pakatan Rakyat, DAP sentiasa menegaskan bahawa pelaksanaan hudud bukan dan tidak akan menjadi agenda bersama dalam Pakatan Rakyat.

“DAP komited untuk menjayakan misi Pakatan Rakyat sebagai kerajaan alternatif untuk menggantikan Barisan Nasional yang korup dan boros.

“Namun, kami sedar ada pihak-pihak tertentu dalam PAS yang lebih cenderung memberikan ‘pelampung’ kepada UMNO untuk menyelamatkan diri daripada pelbagai skandal rasuah yang didedahkan kebelakangan ini,” ujar beliau.

Dengan nada keras, Anthony turut menegaskan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan berjaya menumbangkan Barisan Nasional selagi ada “musuh dalam selimut” yang sentiasa membelakangkan konsensus bersama dan bertindak mengikut rentak yang dimainkan oleh UMNO.

“Pimpinan tertinggi DAP akan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada hari Isnin, 23 Mac 2015, di Kuala Lumpur untuk membincang dan memutuskan halatuju DAP bersama Pakatan Rakyat selepas “ditikam dari belakang” oleh PAS Kelantan pada hari ini,” katanya. – Roketkini.com