Berita

Himpunan “Justice is Dead” esok: DAP seru rakyat berhimpun di pejabat SPRM

PETALING JAYA, 18 MAC: Sebuah himpunan aman “Justice is Dead” akan dianjurkan DAP bagi menuntut keadilan ke atas kematian mendiang Teoh Beng Hock.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata himpunan itu adalah protes terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) yang naikkan pangkat pegawai terlibat dengan kes tersebut di samping menggesa polis membuka semula kes bagi tujuan siasatan terperinci.tersebut.

“Mahkamah Rayuan pada September tahun lalu menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock.dan memutuskan kematian itu adalah akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seseorang atau beberapa orang yang tak dikenali,”ulasnya.

Menurut Tony, selepas keputusan yang diumumkan itu telah melebihi setengah tahun, namun PDRM dan Jabatan Peguam Negara lembab dalam menyiasat semula kes tersebut.

“Dua pegawai SPRM, iaitu Hishamuddin Hashim dan Mohd Anuar Ismail yang terlibat dalam kes kematian Teoh Beng Hock bukan sahaja tidak dikenakan tindakan disiplin atau hukuman, bahkan dinaikkan pangkat,”ujar Tony.

Sehubungan dengan itu, Tony menggesa PDRM membuka semula siasatan di samping menubuhkan satu pasukan khas untuk memastikan keadilan terhadap kematian Teoh Beng Hock terjamin.

“Merujuk kenyataan PDRM terkini, kami mengalu-alukan pihak polis membuka semula siasatan serta merta dan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock.

“Kami berharap siasatan menyeluruh dijalankan secepat mungkin bagi memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk keluarga mendiang Teoh Beng Hock,” tegas Tony lagi.

Mendiang Beng Hock berumur 30 tahun adalah bekas wartawan yang menjadi Setiausaha Politik kepada ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Kematian misteri beliau di pejabat SPRM menimbulkan pelbagai persoalan kerana beliau terbunuh sewaktu sesi soal siasat bersama beberapa orang pegawai SPRM.

Mayat mendiang akhirnya dijumpai di tingkat bawah pejabat SPRM dipercayai jatuh dari tingkat atas bangunan Plaza Masalam di Shah Alam. Lebih mengejutkan, polis membuat kesimpulan ia adalah kematian mengejut.

Berikutan kes profil tinggi yang tidak berkesudahan ini. Tony menyeru semua pihak turut berhimpun bagi menyatakan protes terhadap SPRM dan keputusan mahkamah.

“Kami seru kepada semua pihak turun berhimpun secara aman menunjukkan perasaan dan rasa tidak puas hati terhadap tindakan menaikkan pangkat dua pegawai SPRM,” ujar Tony lagi.

Himpunan aman “Justice is Dead” dianjurkan Teoh Beng Hock Trust for Democracy pada 19 Mac 2015 jam 10:30 pagi di depan pejabat SPRM Selangor. – Roketkini.com