Berita

Pasar Samariang Kuching, satu lagi projek ‘gajah putih’ BN

KUCHING, 18 MAC: DAP menuntut Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak (Saberkas) bertanggungjawab menyelesaikan masalah projek Pasar Samariang yang terbiar serta menjadi sarang penagih.

Penyelaras Pusat Khidmat DAP Tupong Abdul Aziz Isa berkata, beliau telah menerima pelbagai aduan dari orang ramai berhubung pasar tersebut yang seharusnya dua tahun disiapkan, namun kini menjadi satu lagi projek ‘gajah putih’.

“Rakyat membayar cukai kepada majlis tempatan setiap tahun dengan harapan wang mereka tidak dibazirkan atas tujuan tidak bermanfaat.

“Saya menggesa DBKU dan Saberkas untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

“DAP juga akan membangkitkan perkara ini dalam sidang DUN negeri selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Aziz yang juga Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak berkata, projek Pasar Samariang itu sepatutnya membantu pembangunan sosio ekonomi petani dan nelayan setempat terutamanya orang Melayu.

Menurut Aziz, berdasarkan aduan yang diperolehi, tempat itu kini selain menjadi sarang penagih, telah menjadi lokasi kegiatan vandalisme, samseng, maksiat dan perjudian haram.

“Persoalannya kini di manakah DBKU dan Saberkas? Ribuan ringgit dibelanjakan untuk projek ini tapi apa hasilnya?

“Di mana kontraktor yang bertanggungjawab ke atas projek ini? Atau adakah ini hanya salah satu dari projek sebelum pilihanraya?

“Bukankah Samariang adalah kawasan kuat BN? Takkanlah menjelang pilihanraya baru nak tunjuk muka dan selesaikan masalah? kata Aziz. – Roketkini.com