KUALA LUMPUR, 18 MAC: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini menyelar jawapan bertulis Kementerian Kewangan yang langsung tidak menjelaskan mengenai skandal pelaburan projek usaha sama anak syarikat mereka SRC International dengan Gobi Coal & Energy Ltd bernilai RM3.81 bilion di Mongolia.
Beliau berkata, jawapan kementerian bukan saja tidak menjelaskan apa-apa malah bercanggah dengan penjelasan SRC mengenai bagaimana mereka membelanjakan wang dalam penyata kewangan 2014.
Menurutnya, Kementerian Kewangan hanya menjelaskan bahawa pelaburan SRC adalah dalam sektor arang batu dan sumber semulajadi dan mereka menjalankannya secara terus atau melalui usaha sama dengan pelabur antarabangsa.
“Jawapan kerajaan dan kementerian sama sekali bercanggah dengan laporan audit.
“Ini kerana Deloitte Malaysia dengan jelas menyatakan bahawa wang tersebut melibatkan pelaburan dana terbuka, saham yang disebut harga, bon dan deposit masa.
“Tapi adakah ia dalam bentuk usaha sama? Benarkan ia akan berakhir sebagai dana terbuka? Yang mana satu betul?” soalnya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.
Dalam jawapan bertulis kepada Tony, Kementerian Kewangan mendakwa SRC telah melaburkan dana dalam projek sumber asli dan arang batu di dalam serta luar negara.
Pada 12 Mac lalu, juga dalam sidang media di Lobi Parlimen, Tony telah mendedahkan bahawa satu lagi syarikat milik kementerian iaitu SRC bakal menjadi seperti 1MDB.
Beliau menyatakan kerana kesamaran situasi usaha 50-50 antara syarikat itu dengan sebuah lagi syarikat Mongolia, Gobi Coal & Energy Limited.
Tony ketika itu turut mengecam sikap kementerian yang enggan memberikan maklumat penuh dan status terkininya, selain menyarankan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) untuk menyiasat akaun SRC. – Roketkini.com