KUALA LUMPUR, 18 MAC: Tindakan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Peguam baru-baru merupakan bukti bahawa beliau adalah seorang pengecut, kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh Deo.
Beliau berkata, Shafee sebagai Pendakwa Raya dalam kes rayuan liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya hadir dalam AGM bagi menjelaskan sebab mengapa beliau bertindak berpihak kepada UMNO sekaligus memenjarakan Ketua Pembangkang itu.
“Shafee adalah seorang pengecut kerana tidak hadir AGM dan mengelakkan diri dari bertemu rakan-rakan lain.
“Dia sepatutnya menghadirkan diri dan menjelaskan sendiri dalam AGM, tapi takut untuk datang,” tegasnya semasa perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen hari ini.
Ramkarpal juga menegaskan, Peguam Negara telah mengeluarkan perintah untuk menyiasat Shafee di bawah Seksyen 199 Kanun Keseksaan.
Beliau turut mendesak Kementerian Kewangan agar mengesahkan apakah benar Shafee telah menerima bayaran guaman hanya sebanyak RM1,000.
Pada 14 Mac lalu, Majlis Peguam telah mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima perintah injunksi daripada Shafee untuk menghalang badan itu daripada mengemukakan usul mengenai kelakuannya berhubung kes Anwar dalam AGM ke-69 mereka.
Hakim Mahkamah tinggi Datuk Asmabi Mohammad telah membenarkan injunksi ‘interim ex-parte’ kepada Shafee bagi menghalang Majlis Peguam atau Presidennya Christopher Leong atau ejen mereka daripada membenarkan usul itu dikemukakan, dibincang atau diluluskan semasa AGM.
Pada 22 Julai 2013, Shafee telah dilantik sebagai pendakwa raya untuk mengetuai pasukan pendakwa dalam rayuan terhadap pembebasan Anwar.
Namun, pelantikannya itu telah dibantah keras oleh Ramkarpal kerana kes Anwar jelas bermotifkan politik dan Shafee sendiri pernah dilantik mewakili UMNO dalam beberapa kes mahkamah sebelum ini. – Roketkini.com