KUALA LUMPUR, 19 April: Kenyataan bercanggah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang tahap pendidikan di negara ini mencerminkan keadaan bercelaru sistem pendidikan Malaysia, kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Zairil Khir Johari.
Menurut beliau, pendirian tidak jelas para pembuat keputusan telah menjejaskan perkembangan negara.
“Pendirian bertentangan dan tidak tetap Muhyiddin mencerminkan tahap pendidikan Malaysia yang menyedihkan.
Barangkali berbanding bidang lain, dasar pendidikan negara adalah yang paling mendapat kesan buruk daripada proses pembuatan keputusan yang bercanggah dan tidak menentu, dan keadaan ini menjejaskan perkembangan negara,” ujar Zairil.
Ahli Parlimen Bukit Bendera itu memberi contoh program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada tahun 2003 dan dihentikan pada tahun 1012 setelah berbilion-bilion ringgit dilaburkan untuk perkakasan komputer, pelatihan guru dan sebagainya.
Selain PPSMI, kerajaan juga telah memperkenalkan sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan hanya selama tiga tahun apabila ia menambah beban para guru yang terpaksa berjaga sampai pagi untuk memasukkan data pelajar ke dalam pangkalan data.
Isnin lalu, media melaporkan bahawa Muhyiddin dalam lawatan kerjanya ke Jepun mendakwa sistem pendidikan Malaysia boleh dijulang sebagai contoh bagi negara lain.
Kenyataan tersebut dibuat seminggu setelah beliau yang juga merupakan Menteri Pendidikan dilaporkan terkejut dengan prestasi buruk pelajar Malaysia dalam program penilaian pelajar antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (Pisa) and Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) walaupun dana besar telah diperuntukkan untuk bidang pendidikan.
Mengulas perkara ini, Zairil mengatakan bahawa selain keputusan yang berubah-ubah, masalah lain yang dihadapi oleh sistem pendidikan ialah kecenderungan kerajaan berbelanja untuk prasarana yang tidak diperlukan.
“Benar kata Muhyiddin bahawa perbelanjaan pendidikan diberi keutamaan di Malaysia, namun beliau gagal menyebut bahawa banyak wang diperuntukkan untuk projek gajah putih seperti projek 1BestariNet yang bermasalah dan menelan belanja RM4.1 bilion yang kini disarankan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara agar dibatalkan kerana pelaksanaan yang lemah,” tambahnya.
Justeru itu, beliau menggesa agar kerajaan menyusun semula urutan keutamaan dan menyalurkan dana untuk perkara-perkara yang benar-benar diperlukan. –Roketkini.com