Berita

DAP cabar Pemuda MCA berhimpun di Ibu Pejabat UMNO pula

SEGAMBUT, 21 MAC: DAP hari ini mencabar Pemuda MCA untuk adakan demonstrasi di Ibu Pejabat UMNO bagi menyatakan tidak puas hati mereka tentang pelaksanaan hudud di Kelantan.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng menyifatkan perhimpunan aman telah menjadi budaya rakyat Malaysia dan DAP tidak mempunyai sebarang masalah jika ia menjadi sasaran perhimpunan aman oleh sesiapa pun, termasuk Pemuda MCA.

Perhimpunan Pemuda MCA di hadapan Ibu Pejabat DAP pagi semalam dipercayai bertujuan mengutuk DAP dan menyatakan kemarahan mereka dengan pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Selepas ini MCA tidak perlu lagi mengutuk sebarang perhimpunan aman di Malaysia, malah seharusnya menyokong mereka yang berhimpun secara aman serta mengambil bahagian dalam perhimpunan-perhimpunan rakyat pada masa akan datang,” ujar Lip Eng.

Walaupun begitu, beliau terkilan dengan pihak polis yang dilihat mengiringi Pemuda MCA pagi semalam seolah-olah polis bersubahat dengan MCA berdemonstrasi terhadap parti pembangkang.

“Tetapi apa yang menghairankan ialah sekurang-kurangnya dua motosikal polis berkuasa tinggi dilihat mengiringi konvoi kereta mewah Pemuda MCA pagi semalam.

“Ini bagi saya wajar dikutuk. Apa kerja polis bersubahat dengan MCA dan mengiringi mereka untuk berdemonstrasi terhadap parti pembangkang?

“Kenapa pula pihak polis tidak menyediakan khidmat pengiring untuk perhimpunan-perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Bersih serta perhimpunan KitaLawan baru-baru ini yang ternyata berakhir secara aman tanpa provokasi pihak polis?” soal Lip Eng.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar untuk bersikap neutral dan tidak menjadi sekadar budak suruhan.

“Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar seharusnya mengingatkan anggotanya agar tidak menjadi budak suruhan MCA kerana yang membayar gaji mereka adalah rakyat, dan bukan MCA.

“Akhir sekali saya ingin mencabar Pemuda MCA untuk mementaskan wayang yang sama, di hadapan Ibu Pejabat Umno dalam masa 24 jam, kerana ternyata kesemua Adun Umno di Kelantan telah menyokong Enakmen Jenayah Syariah Kerajaan Negeri PAS Kelantan,” tegas Lip Eng. -Roketkini.com