Berita

Ketua Polis Negara diam diri isu ugutan bunuh dan rogol terhadap Aisyah Tajuddin

GELANG PATAH, 21 MAC: Ketua Polis Negara pantas memberi arahan melalui twiiter jika ia membabitkan pemimpin pembangkang dan NGO, namun hanya berdiam diri untuk tangani ugutan bunuh terhadap penyampai radio BFM Aisyah Tajuddin.

Tindakan berdiam diri Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar itu hari ini dipersoalkan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sambil menyifatkan Khalid bersikap pilih kasih kerana hanya pantas menangkap pimpinan Pakatan, tetapi tidak melakukan apa-apa tindakan terhadap ugutan bunuh terhadap Aisyah.

“Kenapa Khalid yang gila twitter boleh diam diri saja tentang ugutan bunuh terhadap penyampai BFM Aisyah Tajuddin kerana persoalkan hudud?

“Adakah KPN sudah dijangkiti penyakit pilih kasih dalam memberi perhatian terhadap satu-satu perkara dan hanya pilih untuk siasat dan ganggu pimpinan Pakatan dan aktivis NGO?”Soal Kit Siang.

Kit Siang menambah, Khalid tidak boleh mengatakan beliau tidak maklum tentang ugutan bunuh tersebut yang telah beredar di media sosial selama lebih kurang 36 jam itu. Sikap polis dalam isu ugutan bunuh terhadap Aisyah malah dipersoalkan bapa Aisyah sendiri Profesor Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi.

“Khalid yang terkenal gila twitter itu selalu mengawasi pimpinan Pakatan dan aktivis NGO, warga Malaysia tertanya-tanya dan punyai hak apa tindakan KPN berhubung ugutan bunuh terhadap Aisyah Tajuddin.

“Ugutan bunuh dan rogol terhadap Aisyah itu juga menyebabkan Prof Tajuddin bertanya di mana KPN mesti ambil tahu iaitu adakah Malaysia selamat untuk anak kita jalani kehidupan mereka?

“Tajuddin kata adakah negara ini selamat untuk anak kita jalani kehidupan mereka? Jika hanya pandangan kecil dibangkitkan seperti isu hudud atau mungkin isu demokrasi dan pilihanraya yang bersih boleh menyebabkan ugutan bunuh, rogol dan bakar hidup-hidup, apa yang boleh dikatakan lagi tentang negara kita, adakah ia salah rakyat atau kepimpinan? Dari mana budaya ini lahir?” jelas Kit Siang.

Sehubungan itu, Kit Siang mengatakan Khalid sepatutnya meletakkan prioritinya memastikan rakyat Malaysia selamat dari penjenayah dan pengganas militan Islamic State(IS), bukannya terjerumus dalam perang terhadap pemimpin Pakatan dan aktivis NGO.

“Yang paling layak jawab soalan fasal keselamatan negara yang dipertanyakan Prof Tajuddin itu tak lain tak bukan adalah Khalid sendiri.

“Jika negara kita tidak lagi selamat untuk besarkan anak-anak, pasti ia juga tidak lagi selamat untuk para pelabur melabur wang mereka. Akhirnya Malaysia akan jatuh dan jadi negara yang gagal.

“Malaysia perlukan seorang KPN yang keutamaannya adalah memastikan rakyat aman dari penjenayah dan pengganas IS, bukannya sibuk untuk berperang dengan pimpinan Pakatan dan aktivis-aktivis NGO,”tegasnya lagi.

Aisyah Tajuddin adalah penyampai radio BFM bagi rancangan “Kupas”, beliau telah menaikkan sebuah video di laman internet menyatakan pandangan tentang hudud yang baru-baru ini heboh apabila Kerajaan Negeri Kelantan membentangkan pindaan hudud di Dewan Undangan Negeri.

Namun, video itu mendapat respons negatif sehingga beliau diugut bunuh dan rogol menerusi ruang-ruang komen dalam laman internet berkenaan.-Roketkini.com