Berita

Konspirasi “UG” lenyapkan isu 1MDB, Jet Najib dan belanja kahwin anaknya dengan ‘RUU Hudud’

GELANG PATAH, 21 MAC: Dalang konspirasi “Unity Government” antara UMNO dan PAS telah berjaya melenyapkan isu dan skandal yang menghantui pentadbiran Perdana Menteri Najib Tun Razak kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Skandal penahanan politik Anwar Ibrahim selama lima tahun, isu hutang RM42 bilion 1MDB, pembunuhan model Altantuya Shaaribuu, pembelian jet peribadi Najib dan perbelanjaan mewah perkahwinan anaknya adalah isu yang cuba dipadamkan dalang ‘UG’ ini.

Kit Siang menyifatkan konspirasi UG yang meletakkan umpannya telah terdedah pada 27 Mac tahun lalu.

Ini berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir mengejutkan pimpinan PAS apabila bercakap dalam Parlimen bahawa UMNO dan Barisan nasional bersedia bekerjasama dengan Kerajaan PAS negeri Kelantan bagi melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

“Umpan ‘UG’ mengena pertama kali ketika enakmen semula kod undang-undang syariah Kelantan 1993 dipinda pada 19 Mac lalu.

“Kali kedua umpan mereka mengena apabila Presiden PAS Abdul hadi Awang memberitahu Parlimen pada 18 Mac lalu bahawa usul Rang Undang-undang Ahli Persendirian akan digerakkan bagi melaksanakan hudud di Kelantan,” jelas Kit Siang.

Sehubungan dengan itu, Kit Siang juga menjelaskan plot “UG” ini akhirnya memberi kesan besar sehingga mengakibatkan objektif jahat sebenar mereka boleh tercapai.

“Objektif sebenar mereka hanyalah untuk menghancurkan kestabilan, dan menghancurkan Pakatan Rakyat kerana PAS mesti pecahkan kedudukan mereka bukan sahaja dalam Pakatan Rakyat bahkan terpaksa mengkhianati komitmen mereka dalam Pakatan.

“Pertamanya, pelanggaran mereka terhadap Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dimeterai pada tahun 2010, di dalamnya terdapat prinsip-prinsip utama dan objektif gabungan Pakatan yang juga tidak mempunyai dasar pelaksanaan undang-undang hudud.

“Yang kedua, mereka melanggar kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (MPPR) yang dibuat pada 28 September 2011 mengenai hudud,” tegas beliau.

Selain itu, Kit Siang juga mengatakan PAS telah melanggar keputusan MPPR pada 12 Mac 2015 yang sepatutnya tidak ada apa-apa enakmen semula kod syariah 1993 akan tetapi hanya mengusulkan pindaan enakmen 1993 oleh Kerajaan PAS Negeri Kelantan.

“Timbalan Menteri Besar Nik Amar telah melanggar laporannya kepada MPPR pada Februari 2015 mengenai empat pindaan kod syariah 1993 di mana keseluruhan 71 klausa kod jenayah syariah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan,” tegasnya.

Berikutan itu, Kit Siang mengatakan ia bukan sahaja mengejutkan pimpinan DAP dan PKR, malahan mengejutkan ramai pimpinan PAS dan ahli parlimennya di samping menyifatkan kepimpinan PAS di bawah Hadi mencatatkan pelbagai pelanggaran keputusan dan prinsip-prinsip operasi Pakatan.

“Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali semalam beritahu kepada Malaysian Insider dia tidak tahu tentang surat Hadi kepada Parlimen apabila pembantunya Takiyuddin Hassan dipetik berkata Hadi mungkin akan bentangkan rang undang-undang itu, walaupun ibu pejabat PAS belum membuat keputusan siapa ahli parlimen yang akan diarah melakukan demikian.

“Faktanya, pada 18 Mac lalu, Hadi telah beritahu kepada Parlimen namanya sendiri yang akan bentangkan Rang Undang-undang Persendirian itu dalam sidang Dewan Rakyat yang akan berakhir pada 9 April nanti.

“Walaupun keputusan sebulat suara MPPR pada 8 Februari lalu mengatakan RUU Persendirian mengenai pelaksanaan hudud mesti dibentangkan dulu kepada Majlis, namun nampaknya bukan pimpinan DAP dan PKR sahaja masih kabur mengenainya, bahkan pimpinan dan ahli parlimen PAS pun tidak tahu apa-apa mengenainya sehinggalah ia dilaporkan media.

“Hadi telah membelakangi prinsip Pakatan dengan melanggar dua asas utama prinsip Pakatan selama tujuh tahun ini sewaktu PR ditubuhkan pada 2008, iaitu setiap keputusan Pakatan mestilah mempunyai konsensus dari DAP, PKR dan PAS,” jelas Kit Siang. -Roketkini.com