Berita

Rara, ‘Superman’ antara 79 ditahan ketika Duduk Bantah GST

KELANA JAYA, 23 MAC: Penyelaras Impian Kelantan, Young Syefura Othman (Rara) dan Pensyarah Kanan Akademi Sosial Demokrasi DAP Dr Hew Kuan Yau antara 79 orang yang ditahan ketika melakukan duduk bantah sebagai protes pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kelana Jaya hari ini.rara

Kesemua peserta duduk bantah ditangkap polis selepas enam jam berada di situ bagi mendesak Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia menjawab 106 soalan berhubung pelaksanaan cukai GST.

Kekecohan mula terjadi apabila Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Azmi Abu Kassim menyatakan bahawa wisma itu akan ditutup kerana waktu pejabat sudah tamat.

Sejurus selepas kenyataan Azmi, kekecohan mula berlaku dan pihak berkuasa mula menangkap peserta demostrasi dan berlaku pergelutan.superman

Rara dalam kiriman whatsapp yang dibaca Roketkini.com menyatakan, 19 wanita antara yang ditahan dan kini mereka sedang dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Kelana Jaya.

“Mereka sumbat (peserta himpunan) ramai-ramai ke dalam trak. Sesak,” tulis Rara dalam kiriman Whatsapp.

Tambah Rara, pihak polis turut berkasar ketika melakukan tangkapan, termasuk antaranya anggota polis lelaki yang ditugaskan untuk menangkap peserta wanita. – Roketkini.com