Berita

“Bagaimana laksana hudud ketika kemiskinan dan pengangguran belum selesai?

GELANG PATAH, 25 MAC: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dalam kempen pilihan raya umum ke-13 sebelum ini berkata bahawa hudud hanya boleh dilaksanakan sekiranya syarat-syarat yang secukupnya dipatuhi.

Ia termasuk bahawa sekiranya tidak ada undang-undang gaji minima atau penyelesaian masalah kemiskinan dan pengangguran, syarat pelaksanaan hudud tidak wujud sama sekali.

Justeru itu, tindakan Hadi yang mahu meneruskan usul rang undang-undang persendirian di Parlimen sebelum 9 April menimbulkan persoalan berhubung pendiriannya sebelum pilihanraya ke-13 hanyalah bertujuan memancing undi.

“Adakah Hadi bersalah mengejar utopia, atau adakah beliau tidak berlaku jujur dengan janjinya kepada pengundi?” soal Kit Siang dalam satu kenyataannya hari ini.

Dalam pada itu Kit Siang turut menyokong pendirian 25 orang Melayu ternama (G25) bahawa pelaksanaan undang-undang hudud bermakna negara telah meninggalkan jalan kesederhanaan di samping tidak penuhi syarat syariah.

Menurutnya, pendirian G25 berasas dengan memetik pandangan sarjana Islam Syeikh Yusuf Al-Qaradawi yang mengatakan undang-undang hudud tidak boleh dilaksanakan melainkan telah dilaksanakan syarat pelaksanaannya.

Yusuf Al-Qaradawi berpandangan pelaksanaan Syariah mestilah ditadbir oleh ijtihad, bagi menentukan bagaimana ia mahu dikuatkuasakan hari ini, kerana menurut sarjana itu hudud tidak boleh menggunakan ketetapan dari teks lama untuk diaplikasikan kepada masyarakat moden.

“Saya bukan Muslim, tetapi saya berbekalkan petikan G25 memetik Al-Qaradawi yang mengatakan masalah apabila hudud dilaksanakan sebelum syarat-syarat pelaksanaannya dipenuhi.

“Ini termasuklah menonjolkan Islam sebenar, di mana masyarakatnya beriman dan bertaqwa, memastikan keperluan ekonomi rakyat dipenuhi, menyediakan peluang pekerjaan kepada semua, mengurangkan jurang pendapatan dan memastikan kemiskinan lenyap sama sekali.

“Berikutan penjelasan Sheikh Qaradawi ini, mereka (G25) kemudiannya bertanya sama ada mana-mana negeri di Malaysia boleh mendakwa bahawa mereka telah memenuhi kesemua syarat bagi membolehkan pelaksanaan hudud? soal Kit Siang. – Roketkini.com