Berita

Impian Sabah: DAP bantu penduduk pedalaman baik pulih akses jalan

PITAS 29 MAC: Sekitar 1,500 penduduk kampung kawasan pedalaman Pitas yang telah lama diabaikan kerajaan BN Sabah menarik nafas lega apabila Projek Gotong Royong Menaik Taraf Jalan Kampung sepanjang 7.4 kilometer anjuran Impian Sabah berjaya mencapai sasaran.

Berucap dalam majlis sempena kejayaan projek itu semalam, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyelar pemimpin BN Sabah yang dilihat tidak berupaya dan tidak mempunyai iltizam politik untuk menyediakan kemudahan asas kepada penduduk kampung.

“Ini berlaku kerana tadbir urus yang lemah BN Sabah, penduduk kawasan pedalaman menjadi mangsa keadaan,” ujar Kit Siang.

Menurut beliau, seluruh warga Malaysia berasa hairan mengapa masih ramai rakyat Sabah yang miskin sedangkan negeri itu memiliki hasil bumi melimpah ruah.

“Keadaan sangat menyedihkan, negeri kaya, tetapi rakyat miskin dan menderita kerana masih banyak kawasan yang tiada paip air, tiada kemudahan elektrik, tiada jalanraya dan tiada kemudahan kesihatan.

“Kita mahu selepas ini kerajaan Sabah beri perhatian kepada lapan buah kampung di sini,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut menyeru penduduk kampung yang hadir supaya terus membuat aduan dan menyebarkan berita tentang keperitan hidup yang berlaku di kampung mereka kepada dunia luar supaya ia mendapat perhatian serta bantuan dari seluruh rakyat.

“Kita boleh gunakan kemudahan sosial seperti facebook bagi yang ada, supaya bukan sahaja orang Sabah dengar masalah kita tetapi seluruh rakyat Malaysia dan dunia tahu penderitaan yang dialami.

“Kita orang biasa dan merdeka. Kita ada impian. Impian Malaysia bermakna kita ada hak untuk mendapatkan keperluan asas dari kerajaan,” ujar beliau. -Roketkini.com