Berita

Tambah beban pengguna kenderaan, insurans am patut dikecualikan GST – V Sivakumar

BATU GAJAH, 30 MAC: Pengguna kenderaan bermotor akan tanggung beban kos lebih besar apabila Cukai Perkhidmatan dan Perkhidmatan (GST) dikenakan ke atas insuran am bermula 1 April ini.

Tanggungan besar itu adalah ekoran dari tarif premium insuran am yang telah pun naik beberapa kali dan terakhir kenaikannya adalah pertengahan Februari lalu. Tambah parah, apabila timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong mengumumkan GST terhadap insurans motor juga akan dikenakan.

Berikutan itu, Timbalan Pengerusi DAP Perak V Sivakumar melahirkan kebimbangannya di samping menyifatkan GST terhadap insuran tidak patut dikenakan lebih-lebih lagi ke atas insurans motor.

“GST tidak patut dikenakan  terhadap insurans am terutamanya insurans motor yang telah mengalami kenaikan dalam premium beberapa kali kebelakangan ini.

“GST  dikenakan kepada insurans am bukanlah satu bebanan kepada syarikat-syarikat insurans tetapi beban yang dipindahkan kepada pelanggan-pelanggan yang membeli insurans,” ujar Sivakumar.

Menurut Sivakumar lagi, kadar premium tarif motor telah diselaraskan secara berperingkat setelah diumumkan Bank Negara Malaysia pada 16 Januari 2012.

Munurut Sivakumar terdapat banyak rungutan daripada rakyat berhubung harga insuran am yang meningkat ditambah GST sebanyak enam peratus yang akan membuatkan mereka menanggung kenaikan harga beberapa kali.

“Peningkatan dalam kadar premium secara terus menerus akan membebankan pelanggan-pelanggan. Tambahan lagi apabila GST dilaksanakan.

“Insurans adalah mekanisme untuk membantu seseorang apabila berlaku sesuatu kecelakaan ataupun kehilangan. Maka kerajaan harus galakkan lebih ramai memiliki pelbagai insurans untuk menghadapi masa hadapan yang tidak menentu. Ini juga akan membantu kerajaan apabila rakyat mempunyai auto mekanisme untuk menjaga kebajikan sendiri apabila berlaku sesuatu kemudaratan,” jelas Ahli Parlimen Batu Gajah itu lagi.

Sehubungan itu, Sivakumar mencadangkan kepada kerajaan untuk mengkaji semula GST terhadap insurans dan mendahulukan rakyat daripada kepentingan syarikat-syarikat insuran.

“Saya cadangkan kerajaan kaji semula pelaksanaan GST terhadap Insurans Am. Pengecualian GST untuk insurans am boleh dianggap sebagai galakan kerajaan mempromosikan industri ini.

“Kerajaan juga tidak boleh menafikan bahawa industri insurans adalah salah satu sektor kewangan yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Ada juga pandangan berlainan oleh Persatuan Insurans Am Malaysia yang menyokong pengenaan GST bagi insurans am. Pada hemat saya, itu adalah pandangan yang dilihat dari perspektif syarikat-syarikat insurans am yang mempunyai kepentingan dan manfaat daripadanya. Tetapi, saya rasa perkara ini harus dilihat dalam konteks pelanggan jika kita benar-benar berpegang kepada prinsip ‘rakyat didahulukan’,” tegas Sivakumar. -Roketkini.com