Berita

GST: Kastam harus tenang, tak perlu takutkan peniaga kecil

PETALING JAYA, 31 MAC: DAP meminta Jabatan Kastam supaya tidak membuat ugutan bukan-bukan serta peraturan tidak masuk akal terhadap peniaga akibat kepanikan jabatan itu sendiri ekoran kenaikan harga pasca kuatkuasa Cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST).

Menurut Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua kenaikan harga itu adalah ekoran kenaikan inflasi yang menjadi kebimbangan pimpinan Pakatan Rakyat sejak dari dua tahun lalu. Beliau mengatakan Jabatan Kastam mulai panik kerana kebimbangan Pakatan kini telah menjadi kenyataan.

“Pimpinan Pakatan telah rayu kerajaan untuk tangguh dan hentikan sahaja pelaksanaan GST sejak 2 tahun lalu. Kami telah beri peringatan tekanan inflasi pasti tak akan dapat dielakkan.

“Kata mereka kenaikan harga adalah sangat kecil, namun ternyata sehari sebelum GST, Kastam sudah panik apabila kenaikan harga sangat ketara akibat GST,” jelas Tony.

Tony menambah akibat kenaikan harga ketara tersebut, Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia Datuk Seri Khazali Ahmad menetapkan sekaligus memberi amaran bahawa apa-apa perniagaan tidak boleh meningkatkan margin keuntungan dan sesiapa yang langgar peraturan itu akan dikenakan penalti.

“Arahan Khazali ini tidak masuk dek akal. Ini pertama kali kita dengar kerajaan mahu rancang bukan sahaja untuk kawal harga barangan asas, tetapi juga mahu kawal margin keuntungan barangan dan perkhidmatan biasa.

“Khazali lupa, kita bukannya dalam negara komunis Soviet atau kerajaan Mao Zedong yang mahu kawal semua harga dan margin keuntungan. Tidak ada undang-undang di Malaysia yang menetapkan berapa keuntungan satu-satu perniagaan itu boleh buat,

“Amaran Khazali ini adalah menyalahi undang-undang, tidak masuk akal dari segi konsep dan mustahil boleh dikawal selia. Bagaimana pegawai Kastam dapat tentukan kos produk selepas ambil kira sewa kedai, kos buruh dan kualiti perkhidmatan apabila cuba “menilai” jika wujud peningkatan margin keuntungan yang boleh dikenakan penalti?

Amaran tidak masuk akal terbaru oleh agensi kastam itu menurut Tony adalah tidak adil kepada peniaga-peniaga lebih-lebih lagi terhadap peniaga kecil.

“Mengapa makcik miskin yang kendalikan warung dikenakan penalti bila naikkan harga teh tarik sebanyak 20 sen sedangkan jutawan hotel terlepas sewaktu mengecas RM18 lebih tinggi untuk minuman yang sama?

“Kebanyakan peniaga kecil tak punya pilihan melainkan menaikkan harga di luar 6% GST akibat kos perniagaan meningkat dengan ketara. Mereka terpaksa melabur dalam sistem perisian cukai, kakitangan baru untuk kerja pentadbiran GST,” katanya.

Menurut beliau, ini berlaku kerana menteri-menteri kabinet bersikap jahil dan keras kepala yang enggan dengar logik dan rasional, tetapi berkeras kononnya hanya 10% jumlah barang dan perkhidmatan akan naik harga manakala 42% lagi kononnya akan turun harga.

Tony meminta Khazali tumpu kepada tugas beliau untuk memastikan bahawa apa sahaja cukai baru dikumpul dengan cekap, dan memastikan syarikat-syarikat besar tidak elak bayar cukai serta tidak menipu supaya Kerajaan Malaysia tidak tanggung rugi. – Roketkini.com