Berita

Kerajaan jadikan Malaysia jaguh cetak rompak

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Pemerintahan UMNO-BN bukan saja telah menjadikan Malaysia sebagai negara bertaraf dunia malah ‘jaguh’ dalam cetak rompak, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari.

Beliau berkata, beberapa laporan baru-baru ini jelas menunjukkan kegiatan ini semakin berluasa dan sudah pun menyerap ke dalam Kementerian Pendidikan.

“Seorang penulis tempatan, Chua Kok Yee mendakwa bahawa tiga buah cerpennya yang bertajuk ‘Embracing Your Shadow’, ‘Thieving Daughter’ dan ‘Sambal without Anchovies’ telah dipilih sebagai bahan pembacaan wajib untuk mata pelajaran Sastera Bahasa Inggeris SPM.

“Namun, cerpen-cerpennya itu telah dicetak, diedar dan dijual tanpa sebarang perjanjian royalti serta kebenaran daripada penulis atau penerbitnya, iaitu Silverfish Books.

“Sementara kempen anti-cetak rompak giat dijalankan, nampaknya kerajaan sendiri tidak menghormati hak cipta serta hak milik intelektual penulis dan ini tiada bezanya dengan pencetak rompak yang menjual DVD di pasar malam,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Zairil, ekoran daripada pendedahan Chua, dua penulis lain iaitu Kee Thuan Chye dan Robert Raymer (Amerika Syarikat) juga telah membuat dakwaan yang sama terhadap Kementerian Pendidikan.

“Kee mendakwa bahawa puisi beliau telah digunakan tanpa kebenaran manakala Robert Raymer menyatakan cerpenya yang bertajuk ‘Neighbours’ pula digunakan dalam sukatan pelajaran Sastera Bahasa Inggeris SPM dari tahun 2008 hingga 2015 tanpa sebarang bayaran royalti.

“Penulis tempatan Uthaya Sankar SB turut mengutarakan bahawa cetak rompak karya penulis ini juga berlaku dalam mata pelajaran Sastera Bahasa Melayu.

“Saya mohon kementerian menjawab dakwaan-dakwaan ini. Sekiranya benar, ia sungguh memalukan,” tegas Penolong Setiausaha Publisti DAP itu.

Pada 6 tahun lalu, Zairil turut mengecam tindakan kerajaan menyekat pembangunan intelek rakyat dengan mengharamkan karya terjemahan beberapa buah buku atas alasan kononnya ia ‘memudaratkan ketenteraman awam’.

Beliau ketika itu telah menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar segera menghentikan penindasan intelektual dan menghapuskan segala sekatan terhadap penjualan serta pengedaran buku.

Menurut Zairil, salah satu terjemahan buku penting yang diharamkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 194 adalah Asal-usul Species, karya Charles Darwin, walaupun versi asalnya, The Origin of Species, dibenarkan dijual. -Roketkini.com