Rencana

“Keyakinan kepada PDRM merudum, apakah Najib akan gantung tugas KPN?

Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melakukan apa yang patut dilakukan oleh seorang Perdana Menteri yang baik – segera menggantung perkhidmatan Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai Ketua Polis Negara sebelum beliau melakukan lebih banyak kerosakan terhadap keyakinan dalam dan luar negara kepada profesionalisme polis, serta kedaulatan undang-undang dan kebebasan media di Malaysia.

Jelas sekali bahawa Khalid mempunyai pemahaman kata ‘hasutan’ yang bengah, malah lebih teruk lagi ia begitu terpilih dan anjal, sehinggakan kenyataan yang paling tidak berbahaya oleh pimpinan Pakatan Rakyat, aktivis NGO dan kini beberapa agensi media tertentu pun boleh dikira menghasut, sedangkan ucapan-ucapan dan kenyataan yang sangat menghasut seperti yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ismail dan Pengerusi Umno Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said secara sewenang-wenangnya pula ditafsirkan olehnya sebagai tidak menghasut, justeru tidak wajar menerima tindakan tegas oleh pihak polis.

Situasi kian buruk, kalau pun tidak kelakar, apabila Khalid memperlihatkan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah apabila beliau boleh menemukan kesalahan menghasut yang tidak dapat dilihat oleh orang biasa, seperti tweet Ahli Parlimen PJ Utara Tony Pua, ‘Royal my foot’ yang hanya difahami oleh Khalid sahaja sebagai satu serangan ke atas Raja-raja Melayu.

Khalid juga memberikan arahan Twitter kepada polis supaya menyiasat pensyarah Universiti Malaya Dr Khoo Ying Hoo ekoran tulisan beliau bertajuk “Who owns the police”, menuduh ia satu fitnah jenayah terhadap pihak polis sedangkan ia hanya mengkritik tindakan sewenang-wenang oleh pihak polis.

Kemudian datang pula tindakan menahan Setiausaha Agung PKR merangkap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, memalukannya dengan memperlihatkan beliau digari dan berkaki ayam serta berpakaian tahanan polis – hanya kerana Ketua Polis Negara telah tersalah faham pekeliling Rafizi sebagai konspirasi untuk menceroboh penjara Sungai Buloh demi membebaskan Anwar Ibrahim; sesuatu yang langsung tidak timbul di fikiran sesiapa.

Di lain-lain negara, seorang pegawai tinggi polis atau penjawat awam yang telah melakukan tiga kesilapan besar dengan salah membuat keputusan dan tindakan pastinya telah dipanggil untuk memberi penjelasan, dan pastinya malu untuk tampil di khalayak buat suatu tempoh yang panjang, tetapi Ketua Polis Negara boleh sahaja ke hulu dan ke hilir tanpa sedikit pun merasa malu dan bersalah?

Jadi ketika Khalid mendabik dada tentang tidak bertoleransi terhadap hasutan, beliau sekadar mengumumkan pemahamannya yang terpilih dan anjal, malah salah fahamnya terhadap istilah dan kesalahan hasutan!

Khalid sepatutnya kini sudah pun menyedari bahawa tugasnya sebagai pegawai tinggi pasukan polis bukanlah untuk berperang dengan pimpinan Pakatan Rakyat, aktivis NGO dan agensi media yang menggunakan hak demokratik dan dijamin Perlembagaan untuk bersuara, memberi pendapat serta berhimpun, tetapi untuk menjaga keselamatan rakyat Malaysia daripada jenayah, dan ketakutan terhadap jenayah; serta kini daripada keganasan dan ketakutan terhadap keganasan lantaran bayang-bayang kumpulan pengganas IS hampir tiba ke perairan negara.

Beliau harus berhenti serta merta daripada melakukan peperangan solonya terhadap pimpinan Pakatan Rakyat, aktivis NGO dan pihak media; serta menjadi seorang pegawai polis contoh.

Lima wartawan utama The Malaysian Insider mesti dibebaskan segera sebelum reputasi negara bertambah rosak di persada media antarabangsa.

Dan lagi, beliau mesti menyatakan dengan jelas bahawa tangkapan ke atas lima wartawan TMI itu bukanlah satu operasi memancing bagi pihak polis i.e. menggunakan penahanan mereka untuk mencungkil maklumat tentang liputan TMI mengenai skandal RM42 bilion 1MDB. – Roketkini.com