Berita

Penangkapan pengarang TMI, DAP gesa perbahasan rang undang-undang anti-terorisme ditunda

KUALA LUMPUR, 31 Mac: Berikutan penangkapan dua lagi pengarang The Malaysian Insider, DAP menggesa agar perbahasan rang undang-undang anti-terorisme ditunda ke sesi akan datang.

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, langkah berkenaan perlu dibuat bagi memastikan bahawa polis boleh dipertanggungjawabkan atas kuasa yang diserahkan ke tangan mereka.

“Penangkapan dua lagi pengarang, iaitu penerbit Edge Ho Kay Tat dan ketua eksekutif The Malaysian Insider Jahabar Sadiq, di samping penangkapan tiga lagi pengarang kanan TMI, iaitu Lionel Morais, Amin Shah Iskandar, dan Zulkifli Sulong kelmarin adalah yang terkini dalam siri penangkapan yang dilakukan oleh pihak polis sejak minggu lalu dan merupakan satu langkah untuk mewujudkan ‘white terror’ dalam negara.

“Siri penangkapan yang dibuat membangkitkan satu persoalan yang merunsingkan, iaitu sama ada polis dan kerajaan yang ada boleh diamanahkan dengan kuasa yang tidak terhalang seperti yang ingin mereka raih menerusi undang-undang anti-terorisme,” tegas Kit Siang.

Parlimen yang sedang bersidang sekarang dijangka akan membahaskan tujuh rang undang-undang anti-terorisme yang akan memberikan kuasa tidak terhalang kepada sayap eksekutif.

Dengan kuasa yang bakal diraih itu, penahanan tanpa bicara untuk suatu jangkamasa yang tidak terhad tidak boleh dicabar di mahkamah.

Kit Siang turut menyatakan kebimbangan sekiranya penangkapan yang dijalankan oleh polis sejak minggu lalu itu adalah pengulangan Operasi Lalang.

“Dengan lebih 100 penangkapan sejak minggu lalu, persoalan yang wajar ditanya ialah sama ada negara ini sedang menyaksikan pengulangan siri penangkapan besar-besaran Ops Lalang,” ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu yang merupakan salah seorang mangsa Ops Lalang tahun 1987.

Mangsa Ops Lalang telah ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan sebahagiannya kerana berbeza pandangan politik dengan pihak pemerintah.

Untuk memastikan pencabulan hak asasi yang sama tidak berulang, Kit Siang justeru itu menggesa agar perbahasan rang undang-undang terbabit ditunda.

“Saya menyeru Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menunda perbahasan tujuh rang undang-undang anti-terorisme ke sidang Parlimen berikutnya yang akan bermula pada 18 Mei.

“Sementara itu, Jawatankuasa Pilihan yang dianggotai kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang perlu dibentuk untuk meneliti dan mengemukakan saranan ke atas rang undang-undang anti-terorisme kepada Parlimen sebelum 18 Mei,” ujar Kit Siang.

Beliau juga turut menyeru Menteri dan Ketua Polis Negara agar menghentikan ‘white terror’ yang sedang berlangsung dan segera membebaskan lima pengarang TMI. –Roketkini.com