Berita

DAP mohon Exco Kerajaan Selangor isytihar harta

SHAH ALAM, 2 APRIL: DAP memohon Menteri Besar Selangor Azmin Ali agar mengarahkan kesemua Exco Kerajaan Negeri mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

ADUN Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong berkata, pengisytiharan tersebut perlu dilakukan bagi membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sememangnya mengamalkan tadbir urus yang baik, berintegriti dan mempunyai akauntabiliti.

“Tahun lalu saya telah mencadangkan perkara ini, malangnya Menteri Besar ketika itu (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) langsung tidak memberikan jawapan dalam penggulungan perbahasannya.

“Padahal, pengisytiharan harta telah disarankan sebagai salah satu indikator untuk menilai ketelusan bahagian Eksekutif sesebuah kerajaan dan ia tertulis dalam Transparency International Source Book 2000, bab ke 7.

“Sekiranya para Exco mengambil berat saranan ini dan melaksanakannya, maka pentadbiran Kerajaan Selangor akan menuju ke arah bertaraf dunia,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Sultan Selangor di Dewan Negeri, semalam.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Selangor turut berharap Kerajaan Negeri dapat menginstitusikan dasar pengisytiharan harta ini melalui suatu enakmen negeri bagi memastikan legasi tadbir urus baik berkekalan di Selangor.

Pada 7 Ogos 2013, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bersama 11 Exco Kerajaan Negeri dan 19 ADUN telah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka. Salinan pengisytiharan tersebut juga turut dimuatnaik dalam laman sesawang Kerajaan Negeri.

Perkara serupa turut pernah dilakukan pada 12 Januari 2012 oleh Guan Eng dan kesemua ahli Exconya dari penggal sebelum ini demi menyatakan amanah, ketelusan dan komitmen mereka kepada rakyat. – Roketkini.com