Berita

Haid wanita pun kena GST?

KUALA LUMPUR, 2 APR – Menteri Kewangan II Husni Hanadzlah nampaknya berbohong mengenai harga tuala wanita selepas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) memandangkan semakan harga terbaru menunjukkan sebaliknya.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching membongkar pembohongan terbabit apabila beliau membuat semakan harga barangan khusus untuk wanita itu di pasaraya Tesco.

Beliau menyifatkan kenaikan harga itu sebagai amat mengecewakan wanita di seluruh negara.

“Semakan harga di Tesco mengecewakan ramai wanita yang sebelum ini mempercayai Husni dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri.

“Kotex Soft dan Smooth Slim yang mengandungi 10 keping tuala wanita, yang biasa dijual pada harga RM3.14, kini dijual pada RM3.39. Bagi Libresse Maxi Non Wings 10 keping, daripada harga asal RM 2.94, kini dijual dengan harga RM3.19.

“Perbandingan menunjukkan hampir kesemua jenama tuala wanita naik harga, dan tidak turun,” ujar Nie Ching lagi.

Beliau turut mempersoalkan serta menyatakan kebimbangan sekiranya kenaikan harga yang disemak di Tesco itu juga disebabkan kesilapan syarikat perniagaan seperti yang terjadi kepada pasaraya lain.

“Adakah ini hanya satu lagi kesilapan yang dilakukan peniaga (Tesco), seperti apa yang dilakukan oleh pasaraya 24 jam KK Mart dan 7 Eleven?

“Atau adakah ini menunjukkan kata-kata menteri kita dan Panduan Harga Pengguna yang diterbitkan oleh kerajaan tidak mempunyai nilai langsung?” soal Nie Ching.

Berikutan kenaikan harga tuala wanita, satu petisyen Stop taxing Malaysian women for their Periods! Period” (Hentikan mencukai haid wanita Malaysia) telah dimulakan oleh individu, Kamelia Shamsuddin di laman web Change.org bagi mendesak kerajaan mengeluarkan tuala wanita dari senarai barangan yang dikenakan GST.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP menyambut baik usaha Kamelia yang turut disokong suaminya, Huzaifah Azman dan rakan-rakannya.

“Saya sokong Kamelia dan rakan-rakannya yang mulakan petisyen di Change.org untuk mendesak kerajaan Malaysia bagi menghentikan cukai terhadap wanita hanya kerana mereka didatangi haid. – Roketkini.com.