Berita

Kerajaan Negeri Perak didakwa abai mangsa banjir orang asal

IPOH, 2 APRIL: DAP menggesa Kerajaan Negeri Perak supaya memberi perhatian dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada orang asal di Tasek Temenggor.

ADUN Canning Wong Kah Woh berkata, selepas menghadapi banjir serius setinggi 26 kaki penghujung tahun lalu, tidak ada sebarang bantuan disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada mereka.

“Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Perak telah bertitah berkenaan dengan prinsip ‘tiada yang tertinggal, tiada yang terpinggir’, namun saya nak bertanya, tahukah Kerajaan Negeri bahawa terdapat orang asal yang tertinggal dan terpinggir di Tasek Temenggor?

“Warga perkampungan telah memberitahu kami bahawa terdapat keluarga-keluarga yang hilang selepas banjir berlaku dan tidak ada apa-apa bantuan sekalipun disalurkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya ketika membahas Titah Perasmian DYMM Paduka Seri Sultan Perak di Dewan Negeri, semalam.

Setiausaha DAP Perak itu turut menegaskan, sehingga sekarang juga tidak ada statistik mengenai kehilangan atau kematian mangsa termasuk jumlah populasi di kawasan tersebut.

“Sepanjang masa ini, mereka yang tinggal di perkampungan tersebut tidak ada kad pengenalan dan tiada peluang pendidikan disediakan.

“Kami tahu bahawa mereka ini bukan pengundi tapi itu bukan alasan untuk meminggirkan mereka.

“Saya menyeru supaya pihak Kerajaan Negeri memberikan perhatian dan menghulurkan bantuan sewajibnya kepada perkampungan orang asal, bukan saja di Tasek Temenggor tapi kawasan-kawasan juga seperti di Desa Rai, Kampung Tabang, Kampung Chiong, Kampung Charukbus dan Kampung Chuweh,” tegas beliau. – Roketkini.com